Mudah cetak
E-mel

14 Mac 2010

Terpegun dengan kelakonan Audi R8

Oleh
Adli Yashir Kuchit

Saksikan vodcast

LEBIH bertenaga, lebih canggih, lebih pantas dan tidak kurang menawan.

Itulah antara ciri kereta Audi R8 5.2 FSI yang dilancarkan jenama Jerman itu baru-baru ini.Dilengkapkan dengan enjin V10 atau 10 silinder, kereta Audi R8 ini boleh meluncur dari 0 hingga 100km sejam dalam hanya 3.9 saat.

Justeru saya tidak melepaskan peluang apabila diundang Audi Singapore untuk menguji pandu kereta R8 ini. Malah sempena pelancaran kereta tersebut, Audi telah menyediakan litar khas di perkarangan Changi Exhibition Centre untuk memberi peluang para wartawan untuk menguji pandu kereta terkini Audi itu.

Kuasa kereta ini jelas terpancar sebaik sahaja saya menendang minyaknya. Enjin 5.2 liter yang diletakkan dibahagian belakang kereta ini berupaya menghasilkan 535 kuasa kuda - menjanjikan kelakonan yang lebih dari memuaskan. Dikemuncak pencapaiannya, kereta jenis 'sports atau kelakonan tinggi ini boleh mencecah 316km sejam.

Pencapaian kereta Audi R8 ini dihasilkan menggunakan technologi angkasa lepas yang dinamakan Audi Space Frame.

Rangka utama kereta ini diperbuat bahan aluminium yang ringan namun mempunyai ciri kekuatan yang unik. Malah rangka utama ini hanya seberat 210 kg. Sementara keretanya seberat 1,620kg.

Audi R8 mempunyai giyar enam-kelajuan secara manual dan ciri R tronic yang membolehkan kereta itu menukar giyar berdasarkan kelajuan yang dicapai. Ia juga mempunyai ciri quattro yang mengalihkan tenaga enjin kepada semua empat roda - menjanjikan cengkaman yang baik pada jalan raya.

Keupayaan ini jelas dirasakan apabila saya memandu kereta ini melepasi selekoh yang tajam pada kejauan yang tinggi. Ketajaman reka bentuk Audi R8 ini tidak boleh dinafikan - sekali pandang anda pasti terpegun.

Dibandingkan dengan Audi RB V8, perubahan yang paling ketara adalah dibahagian depannya. Begitu juga hiasan dalam yang diserikan dengan tempat duduk bersalut kulit jenis Fine Nappa.

Kereta Audi R8 ini khusus bagi mereka yang inginkan kereta mewah bertenaga yang berupaya menarik perhatian umum.

Bagi anda yang tidak mempunyai halangan kewangan, kereta ini dijual dengan harga $648,888 (termasuk COE). Bersama kereta R8, Audi juga menawarkan dua lagi kereta dalam siri 'S' atau 'Sports' iaitu Audi S3 Sportback ($153,000 termasuk COE).