Mudah cetak
E-mel
27 Ogos 2010
Kembara keliling Tasmania dengan van pandu sendiri
Fasa 1: Hobart ke Taman Negara Freycinet
Oleh
Adli Yashir Kuchit
Awas haiwan liar yang sering merentasi jalan raya!
Itulah amaran yang diberikan seorang teman di Tasmania apabila mengetahui rancangan kami untuk memandu sendiri merentasi pulau terbesar di Australia itu.
Bagi anda yang memandu sendiri, Tasmania menawarkan pengalaman memandu yang mencabar - lebuh raya beribu-ribu kilometer, jalan raya yang sempit, cuaca yang kerap berubah dan kehadiran haiwan-haiwan yang tidak kenal peraturan lalu lintas. Bagi para pemandu di kawasan pendalaman Australia, kegiatan haiwan liar merupakan satu cabaran besar apabila memandu khususnya pada waktu malam. Bangkai haiwan seperti wallabi (sejenis kanggaru kecil), wombat dan musang yang sering kelihatan di tengah atau di tepi jalan raya pasti menjadi amaran untuk berhati-hati apabila memandu.
Biar demikian para pemandu yang cekal akan dihadiahkan dengan pengalaman serta pemandangan indah yang sukar dilupakan.
Terdapat pelbagai cara anda boleh menyewa kenderaan di Tasmania. Dalam kunjungan kami pada awal bulan ini (Jun 2010), kami menggunakan khidmat lelaman Internet VroomVroomVroom.com.au untuk mendapatkan tawaran yang terbaik. Menerusi lelaman ini anda boleh membandingkan harga sewa kenderaan yang ditawarkan pelbagai syarikat seperti Europcar, Hertz dan Avis. Anda juga dinasihatkan mendapatkan lindungan insurans kenderaan yang boleh menghadkan bayaran tambahan jika berlaku kemalangan.
Dalam pengembaraan kali ini kami sekeluarga seramai sembilan orang telah mendapatkan van Toyota Hiace yang boleh memuatkan 12 penumpang. Pengembaraan lima hari kami sekeluarga merentas pulau Tasmania dengan van bermula apabila kami mendarat di Hobart, bandar utama yang terletak di bahagian selatan pulau tersebut.
Untuk penginapan pula kami memilih tempat yang menawarkan kemudahan masak sendiri. Ini kerana,di kawasan pendalaman Tasmania, makanan halal sukar di dapati dan jika ada pun ia agak mahal - sebungkus kebab misalnya berharga AUD$12 ($14.40).
Justeru, sebaik tiba di Hobart kami pergi ke sebuah pasar raya untuk mendapatkan bekalan makanan. Di Australia, harga barangan seharian yang dijual di bandar-bandar utama lebih rendah jika dibandingkan dengan kawasan pendalaman. Pasaraya utama di Australia seperti Coles juga terkenal tawaran potongan harga. Sebotol minuman ringan Sprite misalnya berharga AUD$2 berbanding AUD$4.90 jika dibeli di kedai biasa atau stesen minyak. Tasmania terkenal dengan sumber lautnya justeru makanan laut seperti ikan udang dan sotong yang segar mudah didapati.
Setelah mendapatkan bekalan makanan dan peta pengembaraan di Hobart, kami memulakan perjalanan sejauh 192km ke destinasi pertama : Taman Negara Freycinet.
Biarpun jaraknya hanya 192km, kami mengambil masa hampir tiga jam untuk tiba di destinasi. Ini kerana perjalanan ke Freycinet menyusuri jalan raya kecil yang kebanyakkannya mempunyai hanya dua laluan. Kelajuannya pula dihadkan kepada antara 60 km sejam (di kawasan bandar) dan 100 km sejam di lebuh raya.
Sebaik sahaja memasuki kawasan taman negara, kelajuan kenderaan dihadkan kepada 65km sejam khususnya pada waktu malam kerana kegiatan haiwan liar lebih aktif pada waktu itu.
Percayalah, polis Australia amat ketat menguat kuasakan undang-undang ini.
Kami tiba di Freycinet pada sekitar 4 petang namun hari sudah mula gelap. Bagi anda yang kurang biasa memandu jauh, anda dinasihatkan agar elakkan dari memandu pada waktu malam. Ini kerana jalan rayanya gelap dan tidak berlampu...
Panduan pandu sendiri di Tasmania:
1) Awas haiwan liar
2) Dapatkan lindungan insurans
3) Patuhi had kelajuan
4) Pandu ikut keupayaan - kalau penat rehat sebentar
5) Pastikan kenderaan ada bekalan minyak yang mencukupi.
6) Awas keadaan jalan raya - salju menyebabkan jalan lebih licin dan sukar mengawal kenderaan.
Ikuti pengembaraan kami seterusnya di Taman Negara Freycinet...