KUASA pengiklanan di akhbar jika digabungkan dengan wadah dalam talian boleh meninggalkan kesan yang besar, kata pengasas IslamicSG Networks Encik Fadzuli Wahab.
Ini jelas terbukti apabila beliau melakukan tinjuan rambang semasa Seminar Untung Internet yang diadakan baru-baru ini.
Encik Fadzuli bertanya kepada lebih 500 peserta sama ada mereka mendapat tahu tentang seminar itu melalui wadah dalam talian atau akhbar Berita Harian.
Beliau kemudian mendapati lebih 70 peratus peserta mengatakan mereka mengetahui tentang seminar itu melalui akhbar berbanding mereka yang mengetahuinya menerusi wadah dalam talian seperti Facebook dan e-mel.
'Ini menunjukkan bahawa media tradisional seperti suratkhabar masih lagi memainkan peranan penting dan berkesan baik untuk menyebarkan mahupun memasarkan sesuatu.
'Oleh itu, sebagai peniaga, kita harus ingat bahawa kempen dan strategi pemasaran harus meliputi kedua-dua wadah dalam talian dan offline agar dapat impak yang sepenuhnya,' jelas Encik Fadzuli.
Berdasarkan tinjauan itu juga, beliau menambah anggapan bahawa media tradisional tidak lagi relevan dalam konteks hari ini juga adalah tidak tepat.