Mudah cetak
E-mel
6 Feb 2010
FORUM
Atur langkah pertingkat diri hadapi ekonomi baru
RAMAI pengamat ekonomi dunia meramalkan kemelesetan ekonomi sejagat akan berakhir. Ini dikuatkan lagi dengan laporan media massa.
Ekoran pemulihan ini, satu suasana sosioekonomi yang baru bakal muncul dengan ekonomi akan pesat berubah dan mempengaruhi taraf hidup penduduk di negara masing-masing.
Ada masyarakat yang menjadi semakin maju dan makmur namun ada juga yang menjadi daif, mungkin lebih teruk berbanding keadaan sebelum kemelesetan ekonomi sejagat.
Kadar pengangguran di banyak negara masih tinggi dan ramai keluarga yang menghadapi masalah kewangan atau menjadi keluarga bobrok. Singapura juga tidak terkecuali.
Ini satu perkara yang membimbangkan dan banyak persoalan timbul. Antaranya, sudahkah masyarakat kita bersedia untuk menghadapi gelombang ekonomi dalam dekad baru ini? Apakah masyarakat Melayu/Islam akan terus berada di takuk lama dengan sikap ‘tidak apa’ dan ‘asal cukup makan’?
Jika kita tidak bersedia dan hidup sambil lewa, kita akan terus tercicir.
Oleh itu, kita tidak harus terus pasrah dan berserah kepada takdir. Masyarakat kita harus lebih gigih berusaha untuk mempertingkat diri dan keluarga.
Semangat bergotong-royong harus dihidupkan semula terutama di kalangan pemimpin persatuan Melayu/Islam setempat.
Dalam menyampaikan nasihat atau tunjuk ajar bagaimana untuk memajukan diri, saya berpendapat pihak masjid setempat dapat memainkan peranan paling berkesan.
Syarahan yang bernas dapat disampaikan kepada jemaah yang merangkumi ketua keluarga termasuk semasa solat Jumaat. Suasana dalam masjid juga mampu membuat kita berasa lebih insaf.
Selain itu, kita juga harus berani mencontohi amalan-amalan terbaik walaupun bukan daripada kalangan masyarakat kita atau negara kita. Usah berasa malu untuk ‘meniru’ amalan ini.
Bagi anak muda dan pelajar pula, belajarlah bersungguh-sungguh demi meraih kejayaan baik dan cemerlang. Jika boleh, belajar juga kemahiran lain seperti menguasai bahasa Mandarin dan Arab.
Harus diingat, kita akan memasuki pasaran kerja yang bersikap sejagat, dan bukan sahaja bersaing dengan orang tempatan.
Bakat asing yang datang ke Singapura rata-rata merupakan golongan karyawan yang berkemahiran, berpendidikan tinggi dan berpengalaman dan ada di antara mereka yang sanggup menerima gaji rendah.
Kita harus memajukan diri kita agar dapat bersaing dengan mereka dan usah mudah menyerah kalah.
Aturkan langkah dari sekarang dan persiapkan diri secara disiplin sedang ekonomi dunia kian pulih dan membuka peluang-peluang baru bagi syarikat dan individu. Kita harus bersedia mengejar peluang ini.
Abdul Rahman Yacob