Mudah cetak
E-mel
10 Mac 2010
FORUM
Minta HDB kawal ejen hartanah
JANGAN ikutkan hawa nafsu dan fikiran terburu-buru apabila merancang penjualan dan pembelian flat HDB, dan berhati-hatilah apabila berurusan dengan ejen hartanah.
Ingin saya kongsi pengalaman agar menjadi iktibar kepada yang lain memandangkan isu ejen hartanah tidak jujur dibincangkan di akhbar ini.
Pada 2008, ejen hartanah saya mendesak saya menjual flat lima bilik saya terlebih dahulu sebelum memilih atau membeli flat empat bilik di pasaran terbuka. Alasannya, cara ini lebih mudah dalam urus niaga flat kelak.
Namun akhirnya saya menerima padah kerana setelah menjual flat, saya tidak dapat membeli rumah yang mampu dibeli dan berdekatan dengan kemudahan asas.
Terpaksa saya batalkan penjualan rumah saya dan lagipun masih ada baki sebulan untuk mencapai tempoh penjualan semula iaitu lima tahun yang ditetapkan oleh HDB.
Ejen saya lepas tangan begitu sahaja sedangkan ejen pembeli menelefon dan menuduh saya penipu dan menggertak saya.
Dalam episod kedua pula, saya berjaya mendapatkan rumah pada harga berpatutan dan bersetuju dengan ejen hartanah yang mewakili penjual flat dan kami juga bersetuju dengan wang tunai di atas harga taksiran (COV) sebanyak $20,000.
Pada masa yang sama, saya mendapatkan ejen hartanah lain untuk memasarkan rumah saya dan menandatangani surat dengan pemberian komisen 1 peratus.
Setelah selesai penjualan flat saya, pihak yang menjual flat empat bilik pula membuat hal dan mereka menaikkan COV kepada $30,000, atau segala urusan dibatalkan.
Jadi buat kali kedua, keluarga saya dalam kesusahan kerana penjual dan pihak ejen mahu mengambil kesempatan terhadap keluarga saya setelah mendapat tahu saya telah menjual rumah.
Saya sekeluarga tidak ada jalan lain melainkan bersetuju dengan kenaikan COV itu.
Namun kesukaran saya belum berakhir kerana sekali lagi penjual enggan membenarkan kami masuk ke rumah baru kami dua minggu sebelum mendapat kunci, yang awalnya telah dipersetujui semua pihak.
Ejen hartanah penjual menyatakan jika kami tidak setuju, semua urus niaga boleh dibatalkan sebab tempoh serah kunci belum berkuatkuasa dan berkata, “lepas itu duduklah dekat kaki lima dengan anak awak yang kecil itu”.
Begitu hina kata-kata yang dilemparkan ejen hartanah itu namun kami terpaksa menelan keperitan itu kerana tidak boleh lagi mencari rumah lain kerana kesuntukan waktu.
Akhir sekali, kami berperang mulut dengan ejen hartanah yang menjual flat kami yang kini meminta komisen 2 peratus pula.
Pelbagai surat kami terima memaksa kami membayar baki 1 peratus tetapi salinan surat yang saya simpan jelas menunjukkan komisen yang perlu dibayar adalah 1 peratus, maka terselamatlah saya daripada ditipu ejen hartanah ini.
Saya akur memang bukan semua ejen hartanah penipu, tetapi adakah bilangan ejen penipu ini ramai? Apakah mereka ini suka mengambil kesempatan ke atas orang susah atau mereka yang tidak tahu tentang urus niaga rumah?
Saya tidak dapat bayangkan nasib penjual rumah yang berhutang dengan ejen hartanah penipu seperti ini. Pastinya wang tunai hasil penjualan flat penjual ini akan dipotong dengan banyaknya dengan ejen hartanah penyangak ini meraih keuntungan besar.
Saya menggesa pihak Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) dan pemerintah agar mengambil tindakan tegas ke atas ejen-ejen penipu dan ejen yang menjalankan kegiatan peminjam haram.
Tolonglah segera campur tangan agar tidak ramai lagi warga terpaksa menderita, termasuk menyebabkan lebih ramai keluarga Melayu kehilangan tempat tinggal selain tidak meraih keuntungan hasil penjualan rumah mereka.
Salmah Hamid