SAYA begitu tertarik pada berbagai-bagai makalah mengenai Bulan Bahasa tahun ini. Pelbagai cadangan dan pendapat yang diketengahkan di akhbar ini sejak pelancaran bulan bahasa.
Adakah usaha-usaha untuk melestarikan bahasa Melayu ini seterusnya atau setakat hangat-hangat tahi ayam?
Saya ingin mengetengahkan beberapa isu berkenaan bahasa Melayu yang menyentuh perkara-perkara kebangsaan/am. Saya rasa mungkin pakar bahasa kita tidak dirujuk sebelum perkara tersebut diketengahkan.
Sejak bila Mount Faber Park jadi Taman Bukit Faber. Bukankah Mount Faber kata nama khas? Kenapa mesti ditukar kepada Bukit Faber? Apakah semua bahan atau rencana perlu dimelayukan.
Bagaimana dengan nama pelakon Hollywood Chevy Chase? Perlukah ditukar kepada Chevy Kejar?
Papan rentang Hari Kebangsaan ke-44 (2009)
Pesanannya dalam bahasa Inggeris berbunyi lebih kurang begini 'Wishing all residents happy 44th National Day'. Dalam bahasa Melayu pula lebih kurang begini 'Mengucapkan kepada penduduk Selamat Hari Kebangsaan ke 44'.
Papan tanda di tempat terkawal (Protected Area)
Mesejnya lebih kurang begini, 'Tidak dibenarkan menceroboh' atau 'Dilarang menceroboh jika tiada kebenaran'. Apakah istilah 'ceroboh' sesuai?
Saya fikir sudah tiba masanya kita selaraskan segala istilah di peringkat kebangsaan agar lebih berkesan dan kemas dari segi bahasa.
Biarlah usaha melestarikan bahasa Melayu lebih meninggalkan kesan baik dan berterusan.