Mudah cetak
E-mel
25 Jul 2010
FORUM
Islam sudah rangkumi sains
SAYA merujuk kepada tulisan Encik A. Rahman Basrun bertajuk Mengsainskan Islam (bahagian 1) (BH, 15 Julai). Saya percaya penulis berhasrat menyuntik minda pembaca dengan memperkenalkan frasa "mengsainskan Islam".
Pada pendapat saya, pengenalan ini wajarlah dilakukan secara berhati-hati. Selain itu, premis yang dijadikan dasar dijelaskan terlebih dahulu bagi menghindar kekeliruan yang mungkin berlaku.
Apabila kita membahaskan tentang sains Islam, konteksnya mestilah dalam kerangka pandangan alam Islam itu sendiri. Makna sains dalam Islam berbeza daripada sains moden atau sains yang lahir dari Barat.
Dalam kerangka Islam, sains berperanan sekadar menggambarkan dan menjelaskan (describe and define) realiti sesuatu. Sains tidak berperanan membuktikan (affirm) kebenaran.
Ini kerana, pada hakikatnya, sains bukan bersifat yakin sebab sains dipengaruhi tanggapan pencerap dan sistem nilainya.
Seperti yang dicontohkan penulis, terdapat banyak ilmu dalam Islam yang memenuhi ciri saintifik. Ciri saintifik ini bukanlah semata-mata hasil daripada olahan teori-teori ataupun melalui proses ulang-kaji (trial and error) para ilmuan Islam.
Bidang ilmu yang terdapat dalam Islam dan Al-Quran saling berkait rapat dalam satu rangkaian. Setiap satu berada dalam satu struktur yang mewakili konsep utama seperti Ketuhanan, Wahyu, Ilmu, Hakikat Insan, Agama dan lain-lain. Hubung kait antara satu sama lain ini yang memberi ciri saintifik tadi.
Ini berbeza daripada sifat sains moden atau Barat yang lebih menumpu pada aspek kuantitatif semata. Hasil sains berubah-ubah dan hasil kajian sering tidak membawa kepada satu rumusan pasti.
Kebanyakan ilmuan Islam dari dahulu hingga kini sepakat bahawa ajaran agama Islam sifatnya universal dan sains merupakan salah satu bidang ilmu yang terdapat di dalamnya. Silap apabila suatu yang bersifat 'terpencil' digunakan untuk menjelaskan sesuatu yang bersifat 'global'.
Mungkin lebih baik jika disarankan supaya individu Muslim menjana sifat saintifik dalam diri mereka. Bukan agama Islam itu sendiri yang disesuaikan.
Ia bermakna melakukan penelitian, pengkajian serta mencari pembuktian melalui kaedah-kaedah saintifik masa kini yang diterima dan sesuai dalam kerangka alam Islam. Ini bagi menghindar sifat sekadar menerima pengakuan serta maklumat yang belum jelas sumber dan kebenarannya.
Mungkin tajuk lebih sesuai ialah 'Mengenali ciri saintifik bidang ilmu Islam'. Ini secara tidak langsung akan menimbulkan perasaan ingin tahu, khususnya golongan muda, di samping membangkit rasa bangga dengan keunggulan agama Islam itu sendiri.
Siti Fauziana Hassan