MUKA DEPAN
SINGAPURA
DUNIA
SUKAN
EKSTRA!
KOMENTAR
FORUM
EKONIAGA

  
Mudah cetak
E-mel

28 Jul 2010

FORUM

Antara sebab anak kita kelu berbahasa Melayu

BULAN Bahasa baru sahaja berlalu dan sayang sekali tempohnya begitu pendek. Berkaitan isu ini, ingin saya meluahkan sesuatu yang menjadi keprihatinan saya mengenai masalah penggunaan bahasa Melayu, bahasa ibunda kita.

Bahasa Melayu adalah bahasa yang memaparkan jati diri kita yang sememangnya kaya dengan nilai murni dalam kehidupan harian kita. Nilai-nilai murni ini lahir daripada didikan yang kita amalkan, sama ada dari segi tutur kata, budi bahasa, sopan santun ataupun sikap gotong-royong masyarakat kita.

Saya berpendapat kelemahan anak Melayu hari ini dalam menggunakan bahasa ibunda disebabkan pendidikan yang terabai sejak daripada peringkat tadika lagi. Bukankah kita perlu melentur buluh daripada rebungnya?

Tiga puluh hingga 40 tahun dahulu, kanak-kanak di tadika dididik dengan mengutamakan bahasa Inggeris dan bahasa ibunda. Ini menurut sistem pendidikan dwibahasa yang ditekankan pemerintah. Mereka juga belajar agama di madrasah sambilan dengan menggunakan bahasa ibunda.

Kini, terbukti generasi Melayu dalam lingkungan umur 30 hingga 40 tahun mahir dalam kededua bahasa tersebut. Mereka juga punya etika baik. Namun, masa berubah dan cara hidup juga berubah dan ini termasuklah masyarakat Melayu/Islam kita.

Kini, zaman globalisasi dan teknologi dan semakin ramai keluarga dengan ibu bapa sibuk bekerja. Ada yang menghantar anak mereka ke tadika kendalian badan Islam demi mengimbangi kededua ilmu dunia dan akhirat.

Sayangnya, ada sebilangan tadika ini tidak menekankan penggunaan bahasa ibunda kita. Kanakkanak itu dididik dengan mengutamakan bahasa Inggeris. Dari detik itulah, anak-anak kita lebih mahir berbahasa Inggeris.

Kini, masjid-masjid juga mengadakan program Kids Alive dan Teens Alive dalam bahasa Inggeris.

Madrasah sambilan yang menggunakan bahasa ibunda sudah mula tampak hambar. Saya dapat tahu ada madrasah sambilan di masjid-masjid yang kini disampaikan dalam bahasa ibunda akan berakhir tidak lama lagi.

Entah bagaimana nasib bahasa ibunda kita ya?

Surat-menyurat pertubuhan Melayu termasuk masjid juga dalam bahasa Inggeris. Begitu juga semasa perjumpaan seperti seminar atau mesyuarat, turut disampaikan dalam bahasa Inggeris walaupun yang hadir semuanya orang Melayu.

Ada juga orang Melayu yang hampir atau lupa akan jati diri. Mereka pandang rendah akan bahasa ibunda dan budaya hidup kita. Mereka menganggap budaya kita sudah lapuk.

Mengapa masyarakat Melayu kita sering mengambil jalan mudah dan pintas untuk mengatasi sesuatu masalah?

Sebilangan kita mudah mengaku kalah sebelum berjuang. Semangat perjuangan semakin lemah.

Bagaimana nasib generasi kita akan datang? Ke mana arah tuju kita yang sebenarnya dan apa masa depan bahasa Melayu?

Aminah Ali

 
   
   
 

FORUM

 
 
Nilai asatizah pada ilmu agamanya
 
 
Kain rentang tidak peka terhadap isu halal haram
 
 
Saranan tambah warga Muslim hanya akan kusutkan isu
 
 
Isu pendatang asing perlu terus diperjelas
 
 
Bantu fahami bahaya berhutang
 
 
Atasi tabiat meminta dan mengemis
 
 
Cara Darul Makmur atasi soal letak kereta
 
 
Saran pungut derma TAA pada solat Eid
 
 
Peka ketika telefon minta derma