DARI AMERIKA TERSASAR KE REPUBLIK CZECH: Cik Danielle Smith bimbang apabila potret keluarganya di laman Facebook 'dicuri' di dada siber dan akhirnya dijadikan iklan di sebuah pasar raya Grazie di Republik Czech.
|
Mudah cetak
E-mel
16 Feb 2010
ISTIMEWA
Kuasa 'Facebook'
Banyak kebaikan tetapi berupaya juga menjahanamkan hidup seseorang
KISAH 1
FOTO KELUARGA JADI IKLAN
NIAT di hati Cik Danielle Smith hanyalah untuk melayang ucapan Krismas kepada teman-teman dekat dan jauh. Lantaran itu, beliau meminta jasa teman baiknya, Cik Gina Kelly, merakam foto beliau sekeluarga untuk dilampirkan sebagai foto profail laman Facebook-nya.
Wanita yang menetap di Missouri, Amerika Syarikat itu tidak menduga foto tersebut kemudian 'merantau jauh' ke Republik Czech dan akhirnya menjadi penghias iklan khidmat kiriman makanan sebuah pasar raya di situ.
'Alangkah terkejutnya saya apabila teman sekolah saya yang bercuti di Prague mengirimkan e-mel kepada saya.
'Dia ternampak iklan dengan wajah kami yang menguntum senyum terpampang di jendela pasar raya Grazie yang menjual makanan Eropah! Apa dah jadi?' cerita Cik Smith, 36 tahun, antara percaya dengan tidak kepada agensi berita The Associated Press (AP).
Wartawan AP menghubungi Encik Mario Bertucio, pemilik pasar raya Grazie untuk mengetahui bagaimana perkara ini boleh terjadi.
Menurut Encik Bertucio, pihaknya menyalin foto itu dari Internet tanpa menyedari ia adalah foto sebenar sebuah keluarga di Amerika.
Beliau bercadang menarik balik iklan itu dan meminta maaf kepada Cik Smith.
'Saya benar-benar tak tahu... ia suatu kesilapan,' jelasnya dengan nada kesal.
Bagi Cik Smith pula, langkah selanjutnya ialah mendapatkan bantuan sebuah pertubuhan jurugambar profesional untuk menjejak 'laluan' foto itu di dada siber - bagaimana ia boleh dijiplak semudah itu.
'Saya dapat tahu, foto itu menarik perhatian ramai kerana ia dirakam dengan cukup indah. Laman peribadi saya yang diuar-uarkan melalui Facebook dilungsuri sebanyak 180,000 kali sejak foto itu dilampirkan.
'Mungkin antara pelungsurnya adalah si dalang yang bawa wajah kami ke Prague! Nasib baik ia hanya iklan khidmat kiriman makanan dan bukannya iklan yang 'menjual' kami sekeluarga!' tambahnya.
Sebagai langkah berjaga-jaga, Cik Smith kini mengurangkan resolusi foto yang dilampirkan pada Facebook dan blognya.
Beliau juga menambah tera air (watermark) elektronik untuk mengelakkan fotonya dari dijiplak sewenang-wenangnya.
'Kejadian ini tidak menakutkan saya tetapi saya bimbang potensi untuk gejala sebegini tersebar kelak dan Facebook pula disalahgunakan secara meluas. Ia memang menyeramkan pengguna Internet!' katanya lagi.
KISAH 2
BUAT-BUAT SAKIT, RUPA-RUPANYA...
Kalau dah sakit, buatlah hal orang sakit yang berehat di rumah. Jangan kunjungi tempat awam dan elakkan juga dari memuatnaikkan foto anda bersantai di Internet! Jangan pula dengan majikan, anda kata murung tetapi rupa-rupanya anda seronok bercuti di tepi pantai!
Inilah yang berlaku kepada pekerja IBM di Quebec, Canada, Cik Nathalie Blanchard, yang diberi cuti sakit yang panjang selepas disahkan menghidap kemurungan.
Selepas fotonya yang berseronok-seronok di tepi pantai, di pesta penari lucah lelaki dan di majlis hari lahir terpampang secara terbuka di laman Facebook, nasibnya menjadi bak jatuh ditimpa tangga.
Manulife, yang memberinya pampasan cuti sakit bulanan, langsung menghentikan bayaran tersebut kerana merasakan Cik Blanchard telah memperdaya majikannya untuk kepentingan peribadinya.
Cik Blanchard cuba mempertahankan dirinya dengan menyatakan beliau kehilangan pampasan yang bernilai ribuan dolar.
'Manulife tak faham. Saya murung, lantas saya pun pergilah bersantai. Selepas bersantai, kemurungan saya masih ada... tak hilang-hilang. Lagi pun, doktor minta saya ke pantai dan pesta untuk melupakan masalah saya,' katanya lagi.
Peguam Cik Blanchard, Encik Tom Lavin, pula meminta satu lagi pemeriksaan psikiatrik dijalankan ke atas anak guamnya itu.
Menurutnya, tidak adil untuk Manulife mengambil keputusan hanya kerana paparan foto Facebook.
KISAH 3
DICERAIKAN MELALUI FACEBOOK
Siapa yang tidak pilu jika perkahwinan yang disangka bahagia menemui jalan buntu apabila sang suami menceraikan isterinya melalui laman Facebook? Ini dipercayai merupakan perceraian Facebook pertama.
Cik Emma Brady, 35 tahun, penganjur persidangan, tidak dapat menahan kesedihan apabila terbaca luahan rasa suaminya, Encik Neil Brady, di laman Facebook.
Tertera sebaris ayat yang mencencang lumat hati Cik Emma - 'Neil Brady telah menamatkan perkahwinannya dengan Emma Brady'.
Lebih mengguris hati apabila seorang temanita Encik Brady menyokong beliau dengan memintanya meneruskan sahaja perceraian itu.
'Lebih baik jadi bujang daripada berkahwin dengan perempuan itu!' tulisnya di 'dinding' Facebook Encik Brady.
'Saya malu sebab tidak tahu-menahu mengapa saya diceraikan dan perkara ini diketahui orang lain sebelum saya.
'Teman saya yang tinggal sejauh Denmark yang mula-mula dapat tahu. Dia tanya saya O.K. ke tidak kerana Neil telah menceraikan saya.
'Teman-teman yang dah lama tak berbual dengan saya pun tiba-tiba menghubungi saya juga,' ceritanya kepada akhbar Dailymail.
KISAH 4
BATAL PERKAHWINAN
Berbeza daripada Cik Brady yang terpinga-pinga, Cik Valeria (bukan nama sebenar), seorang wanita Italy, pula meledak marah apabila ternampak foto tunangnya menyentuh payu dara seorang wanita lain di laman Facebook.
Kerana tidak dapat mengawal kemarahannya, Cik Valeria bukan sahaja memutuskan pertunangannya dengan Encik Antonio M, malah mencetak foto Encik Antonio dan perempuan itu untuk ditampal di stesen kereta api dan beberapa bangunan berhampiran pejabat Antonio.
'Mujurlah ada Facebook! Sekurang-kurangnya aku dapat tahu kau adalah 'babi pembelot' sebelum kita kahwin,' begitulah kata-kata tertera pada poster Cik Valeria.
KISAH 5
MENCARI KELUARGA
Kuasa Facebook nampaknya begitu menyerlah sehinggakan seorang anak watan Italy yang diculik bapanya sendiri ketika berusia lima tahun, berjaya mengetengahkan kisah pencariannya melalui televisyen.
Encik Alex Anfuso, 28 tahun, yang diculik bapanya sendiri ketika berusia lima tahun, berusaha mencari ibunya yang telah 22 tahun tidak ditemui, menerusi Facebook.
Encik Anfuso diculik di Guidonia, Rome, ketika ibunya, Cik Silvana Anfuso, ditahan di penjara Rebibbia kerana penyalahgunaan dadah sekitar 1987.
Selepas diculik, Encik Anfuso dibawa ke Mesir dan bertukar nama menjadi Ali Mohammed. Di sana, bapanya telah menyerahkannya kepada seorang wanita tua yang menjaganya hingga dewasa.
Menyedari beliau hanyalah anak angkat nenek itu, Encik Anfuso berusaha mencari ibu kandungnya menerusi Facebook. Beliau menyangka Encik Pina Anfuso, seorang teknisyen televisyen, ada kena-mengena dengannya dan mengutus e-mel kepada beliau, meminta pengesahan.
Meskipun teknisyen itu bukan saudaranya, beliau sedia membantu dengan berkongsi kisah Encik Anfuso dalam program televisyen ala Jejak Kasih di seberang Tambak, iaitu Who Has Seen Them?
Menerusi program itu, Encik Anfuso mendapat tahu ibunya telah meninggal dunia sebelum sempat mereka berjumpa.