MUKA DEPAN
SINGAPURA
DUNIA
SUKAN
EKSTRA!
KOMENTAR
FORUM
EKONIAGA

  
KEGEMARAN TOKOH: 'Twitter' lebih dimanfaatkan tokoh seperti Presiden Barack Obama yang sempat mengutus pesanan atau mengirim 'Tweet' mengenai bantuan kemanusiaan mangsa gempa di Haiti, baru-baru ini.
Mudah cetak
E-mel

16 Feb 2010

ISTIMEWA

'Twitter' belum cukup lekat di hati remaja

SETIAP pergerakan harian selebriti kegemarannya seperti Demi Lovato, John Mayer, Taylor Swift, Selena Gomez dan Lauren Conrad ingin dijejaki Nur Shakilah Abu Bakar.

Berbekalkan khidmat rangkaian sosial dan mikroblog, Twitter, Nur Shakilah, 18 tahun, mampu mendapatkan maklumat terkini tanpa perlu melungsuri ratusan laman hiburan di dada siber.

Nur Shakilah, yang bakal mengikuti kursus Dagangan Visual di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Bishan, senang dengan Twitter yang boleh dikemaskinikan setiap saat, di mana-mana termasuk menerusi telefon bimbit.

'Kalau anda menjadi pengikut seseorang, anda mampu mengetahui apa yang dilakukannya melalui pesanan yang dipanggil tweets. Saya tidak mampu memilih antara Facebook dengan Twitter sebab saya mesra dengan kedua-duanya.

'Cuma, batasan Twitter hanyalah coretan 140 huruf sahaja. Jadi pesanannya hanya ringkas-ringkas saja untuk disebarkan kepada pengikut saya,' jelas pelajar ceria ini.

Nur Shakilah adalah antara 18 juta pengguna Twitter serata dunia yang memanfaatkan khidmat percuma ciptaan Jack Dorsey, seorang jurutera dan peniaga sofwe Amerika.

Sejak khidmat yang dipanggil 'SMS Internet' ini tercipta pada 2006, ia kian popular dan dimanfaatkan orang-orang ternama termasuk Presiden Barack Obama.

Bagaimanapun, mengikut kajian Pew Internet Project yang dilaporkan akhbar USA Today, ia masih tidak mampu mengatasi kehebatan fenomena Facebook yang digunakan secara aktif oleh lebih 200 juta orang serata dunia.

Facebook, bahkan, jauh lebih diminati remaja yang gemar menyemak lembaran demi lembaran foto, catatan peribadi, klip video ataupun aplikasi permainan dan kuiz yang membanjiri Facebook.

Menurut kajian itu lagi, hanya lapan peratus remaja antara usia 12 tahun dengan 17 tahun yang ditinjau, menggunakan Twitter.

Cik Amanda Lenhart, pengkaji dan penulis laporan pengguna media sosial dan Internet bergerak di kalangan remaja dan belia, menyifatkan dapatan ini agak pelik memandangkan belia biasanya adalah golongan yang mudah mesra dengan sebarang khidmat teknologi baru.

'Bagaimanapun, selepas saya bertanya kepada mereka tentang tanggapan mereka mengenai Twitter, saya dapat tahu kebanyakannya tidak tahu apa itu Twitter.

'Sesetengah daripada mereka tahu ia adalah budaya baru sesetengah selebriti yang akan mengirimkan pesanan dan butiran mengenai perkembangan mereka saban waktu.

'Namun, ramai yang tidak minat untuk ambil tahu tentang hal itu,' jelas Cik Lenhart lagi.

Adriyanni Amelyus, 21 tahun, mahasiswa Universiti Nasional Singapura (NUS), bukan pengguna Twitter kerana enggan terlebih dibebani maklumat.

'Semakin ramai orang yang anda ekori, semakin banyak maklumat yang anda perolehi. Itu semua tidak perlu.

'Saya lebih sukakan Facebook sebab saya boleh memilih apa bahan untuk dibaca. Nak baca status teman ataupun tidak, semua itu terpulang kepada individu.

'Lagi pun, Facebook ada kemudahan untuk saya dan teman-teman bersembang. Twitter tiada,' katanya.



 
   
   
 

ISTIMEWA

 
 
Usah cepat mengadili
 
 
Lahir lelaki naluri perempuan
 
 
Trend membimbangkan, kata guru
 
 
Terserempak emak di stesen MRT
 
 
Berkebaya semasa berjalan Raya