SRI: Semua pakaiannnya merupakan pakaian wanita dan beliau tidak teragak-agak memakai pakaian jenis itu kemana-mana.
|
Mudah cetak
E-mel
14 Mac 2010
ISTIMEWA
Berkebaya semasa berjalan Raya
SEDANG ramai temannya terpaksa merahsiakan kehidupan sulit mereka daripada pengetahuan keluarga, Sri Alif Ali Farhan tidak mempunyai masalah sedemikian.
Sifat-sifat kewanitaannya diterima ibunya sehinggakan setiap Syawal, Sri, 19 tahun, akan keluar berlebaran dengan berpakaian baju kurung dan kebaya.
Apabila beliau dipersendakan atau menerima teguran sinis dari saudara mara, ibunya lekas mempertahankan anak kesayangannya itu.
'Ibu saya selalu beritahu saudara mara, 'Kalau kau tak suka anak aku, jangan cakap dengan dia. Biarkan dia macam tu. Dia anak aku',' kata Sri, seorang anak tunggal, tersenyum bangga.
Bapa tiri Sri turut menerima beliau, sementara sepanjang hayatnya Sri hanya bertemu bapa kandungnya sekali, semasa di sekolah rendah.
Setelah sekian lama, Sri menambah, beliau tidak lagi terkesan dengan teguran sinis dan kata-kata menghina yang dilemparkan bukan sahaja oleh orang luar, tetapi juga saudara mara.
Sesetengah orang sepertinya akan 'marah-marah sampai naik geram' apabila dipanggil nama- nama biadap seperti bapuk, kedi, gay boy dan sebagainya, menurut beliau.
Tetapi bagi Sri, beliau sudah lali dengan semua itu.
'Mereka boleh kata apa yang mereka nak. Cakaplah sampai mulut berbuih, saya tak peduli,' katanya.
Sokongan yang diterima Sri daripada anggota keluarga terdekatnya itu jelas telah memberi beliau keyakinan diri.
Sepanjang wawancara kami bersama beliau dan teman-temannya, Sri tampak lebih matang dan sering mengawal perbincangan apabila perbualan mula memesong daripada topik asal.
'Korang semua eh, tolong fokus. Boleh jawab soalan betul- betul tak?' kata Sri dengan tegas, setiap kali teman-temannya mula 'menggelitis'.
Bagaimanapun, Sri menerangkan, sokongan ibunya itu bersyarat.
Menurutnya, ibunya menyokong beliau sepenuhnya dengan syarat beliau tidak melampaui batas.
Ditanya definasi 'melampaui batas' itu, Sri berkata beliau bebas memenuhi naluri semulajadinya itu dengan gaya hidup dan cara panampilan, namun ia harus berhenti di situ dan tidak sampai ke tahap menjalani pembedahan bertukar jantina.
'Ini bukan satu masalah. Saya selesa dalam tubuh saya sekarang, jadi saya memang langsung tidak ada rancangan untuk menjalani pembedahan apa-apa,' katanya.
Menurut Sri, sejak kecil lagi beliau sudah merasakan dirinya seorang perempuan yang terperangkap dalam tubuh lelaki.
Lantas, memakai mekap dan pakaian wanita serta bersifat lembut, adalah sesuatu yang semulajadi baginya.
Menceritakan transformasinya, Sri, yang berhenti sekolah di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) sebelum tamat pengajian dan kini bertugas sebagai penari, berkata beliau mula menggunakan mekap semasa di sekolah rendah.
Kini, semua pakaiannya merupakan pakaian wanita dan beliau tidak teragak-agak memakai pakaian jenis itu ke mana-mana.
Namun, beliau faham mengapa orang luar sukar menerimanya dalam keadaannya itu.
'Mereka takut dengan apa yang mereka tidak tahu. Walau ramai yang tidak terima, tapi saya juga ada ramai teman rapat, yang seksualiti dan identiti mereka biasa-biasa.
'Teman-teman ini dapat melihat saya sebagai seorang manusia. Mereka menghargai budi pekerti saya, hati saya dan bukan hanya melihat saya sebagai seorang yang ganjil, yang lain daripada mereka,' kata beliau.