MUKA DEPAN
SINGAPURA
DUNIA
SUKAN
EKSTRA!
KOMENTAR
FORUM
EKONIAGA

  
Mudah cetak
E-mel

9 Feb 2010

KOMENTAR

Kaitan tiga segi presiden Filipina

Oleh
Nahar Azmi Mahmud

DEMAM pilihan raya presiden, perundangan dan tempatan pada 10 Mei depan kian mencengkam Filipina.

Dari segi calon presiden, tampak perlumbaan dua tokoh iaitu Encik Benigno 'Noynoy' Aquino III dari Parti Liberal dengan Senator Manuel Villar dari Parti Kebangsaan (Nacionalitas).

Sebaliknya tokoh harapan Presiden Gloria Macapagal-Arroyo iaitu Setiausaha Pertahanan, Encik Gilbert 'Gibo' Teodoro, dari perikatan Lakas-Kampi-CMD tampak tidak popular, menurut dapatan pelbagai tinjauan.

Akibatnya, timbul berita bahawa Cik Arroyo cuba menjauhkan diri daripada Encik Gibo. Istana Malacanang telah cuba menafikan hal ini, kata Encik Gary Olivar, timbalan jurucakap presiden.

Menurutnya, semua calon presiden diminta jangan 'mengheret' nama Cik Arroyo yang cuba berkempen untuk penggal keduanya di peringkat kongres (perundangan) di kawasan Pampanga.

Namun pihak mantan presiden, Encik Joseph Estrada, berkata bahawa Cik Arroyo menyokong Encik Villar.

'Saya yakin hal ini sudah berlaku,' hujah mantan Senator Ernesto Maceda, ketua kempen Encik Estrada. Beliau menukil Setiausaha Pendidikan, Encik Jesli Lapus, yang dilaporkan telah menghimpun para pegawai untuk menyokong Encik Villar.

Di Batangas, mantan gabenor, Encik Armand Sanchez, juga menyokong Encik Villar. Encik Sanchez berkempen untuk mengalahkan gabenor bertahan, Encik Vilma Santos, yang merupakan penyokong kuat Encik Noynoy.

Namun setiausaha eksekutif pemerintah, Encik Eduardo Ermita, yang bertanding di peringkat kongres di wilayah yang sama, berkata usaha untuk menyokong Encik Sanchez tidak bermakna memberikan sokongan kepada Encik Villar di peringkat nasional.

Encik Noynoy merupakan tokoh yang disegani dan diharap akan membersihkan perwajahan kepemerintahan Filipina.

Ayahnya pernah berjuang sehingga dibunuh oleh diktator Ferdinand Marcos dan ibunya, Corazon, telah meneruskan perjuangan sehingga menamatkan zaman kuku besi di watannya. Latar belakang keluarganya yang dianggap 'terpuji' telah menambat hati rakyat.

Namun keluarga Encik Noynoy dibenci oleh Cik Arroyo dan konco-konconya. Sewaktu masih hidup, Cik Corazon Aquino pernah terlibat dalam tunjuk perasaan yang menuntut Cik Arroyo supaya meletak jawatan atas kesalahan rasuah dan silap tadbir.

Itulah sebabnya Encik Reginald Velasco, timbalan setiausaha Lakas-Kampi-CMD, berpendapat Cik Arroyo berada '100 peratus di belakang Teodoro'.

Cik Arroyo tidak dapat meneruskan penggal ketiganya kerana dilarang oleh perlembagaan negara itu yang bertujuan mengelakkan berulangnya zaman diktator ala Marcos.

Encik Noynoy juga dikatakan enggan bertolak ansur dengan pihak Cik Arroyo. Malah kempen Parti Liberalnya ialah 'Kung walang corrupt, walang mahirap' (tiada rasuah, tiada kedaifan).

Kempen presiden menjadi sorotan utama di negara 92 juta penduduk dengan lebih separuh berhak mengundi.

Kali ini politik wang kian menjadi-jadi dengan kem Villar dikatakan membelanjakan 70 juta peso ($2.13 juta) iaitu 10 kali lebih tinggi daripada Cik Arroyo untuk kempen di media.

Namun Encik Gilbert Remulla, jurucakap Nacionalista dan calon senat, menolak tuduhan Parti Liberal mengenai politik wang.

Parti Liberal dikatakan ialah 'parti miskin' dan cara berkempennya bersifat hebahan mulut.

Jumlah jenayah terus meningkat sejak demam pilihan raya melanda Filipina, terutama di kawasan Mindanao yang menyaksikan pembunuhan oleh pihak keluarga Ampatuan.

Bahkan ada pengamat khuatir jika suasana jenayah memburuk, mungkin berlaku percubaan rampasan kuasa tentera atas alasan untuk menenangkan kedaan.


 
   
   
 

KOMENTAR

 
 
Pengaruh luaran yang meradikalkan
 
 
Mencari keadilan di Kemboja sesudah tiga dekad
 
 
Formula elak perbincangan sia-sia