TAMPAK rejim tentera Myanmar tidak rela Cik Aung San Suu Kyi terlibat dalam politik negara itu. Hal ini jelas terpapar dengan peraturan baru mengenai pilihan raya umum - menetapkan anggota yang pernah dipenjarakan agar disingkir daripada parti dan dilarang bertanding. Difahamkan, rejim itu akan mengadakan semacam pilihan raya umum dalam rangka memulihkan suasana demokrasi yang dituntut oleh rakyatnya dan masyarakat antarabangsa.
Dasar rejim itu amat menghampakan masyarakat dunia dan Asean. Rekod hak asasi Myanmar memang buruk. Sebagai negara anggota Asean, Myanmar disifatkan membawa aib. Ini disebabkan Asean merupakan badan supranasional yang dihormati pada peringkat jagat. Tanpa rasa hormat itu, tidak mungkin Asean boleh mengadakan sidang puncak yang dihadiri oleh para wakil negara utama seperti Amerika Syarikat sehinggalah China.
Hasrat rejim tentera ialah terus memerintah Myanmar. Sejak merdeka daripada British pada 1948, pergolakan Myanmar (ketika itu dipanggil Burma) memang menunjukkan niat tentera untuk berkuasa. Bapa Cik Suu Kyi, Encik Aung San, merupakan seorang panglima dan terkorban dalam usaha membina demokrasi watannya. Dek ancaman ke atas keluarganya, Cik Suu Kyi terpaksa berhijrah ke Britain. Namun, kerana cintakan watan, beliau pulang dan turut memimpin Liga Kebangsaan bagi Demokrasi (NLD) yang menang besar dalam pilihan raya umum 1990 tetapi tidak diakui tentera.
Sepanjang 14 tahun dikurung daripada 20 tahun kehadirannya di Myanmar, Cik Suu Kyi melalui pelbagai kegetiran. Pengorbanannya amat besar dalam membina demokrasi sehingga diiktiraf dengan Hadiah Nobel bagi Keamanan pada 1991. Namun, beliau disifatkan musuh oleh rejim tentera. Tidak syak, rejim pimpinan Jeneral Kanan Than Shwe telah melakukan kesilapan besar yang hanya menjerumuskan Myanmar lebih dalam lagi ke kancah ketidakpastian.
Kini, apakah tindakan masyarakat antarabangsa dan Asean? Rakan dagang Myanmar seperti China dan India perlu bertegas terhadap rejim yang sanggup menzalimi rakyatnya sendiri, termasuk sami Buddha. Pilihan raya umum hanyalah sandiwara saja di Myanmar tanpa penyertaan sebenar gerakan politik yang bebas seperti NLD dan Cik Suu Kyi.