Mudah cetak
E-mel
29 Jul 2010
KOMENTAR
KALAM INSAN
Formula elak perbincangan sia-sia
Oleh
A. Rahman Basrun
TERUS terang, saya amat gembira dan bersyukur setiap kali mendapat maklum balas daripada pembaca.
Tidak kiralah sama ada maklum balas itu baik atau buruk, ia tanda pembaca sudah cukup terangsang untuk sanggup menaip atau menggerakkan pena.
Ternyata tulisan saya bertajuk Mengsainskan Islam (bahagian 1) (BH, 15 Julai) mendapat maklum balas lebih banyak daripada biasa. Ada yang sokong, ada yang bantah. Pokoknya, reaksinya sangat ilmiah.
Terkenang saya pada satu forum di Internet bergelar Cyber- Ummah sekitar lebih sedekad lalu. Forum itu tidak wujud lagi. Sayang.
Di situlah tercetus banyak perbincangan tentang isu-isu semasa antara individu Muslim di watan ini, termasuklah orang kebanyakan seperti saya, cendekiawan dan asatizah. Rindu pula saya.
Cuma yalah, rambut sama hitam, hati lain-lain; sesetengah perbincangan di situ berubah menjadi tengkarah.
Selepas membuat pengamatan, saya menyenaraikan di forum itu senario-senario bagaimana perbincangan ilmiah pun boleh sampai jadi bahan perbalahan.
Berikut senarainya (itu pun yang saya ingat dan tokok tambah):
1: Contoh pula jadi isu
A cakap tentang isu X. A sebutkan Y sebagai hujah atau contoh.
B persoal hujah atau contoh Y itu.
Timbullah perbahasan tentang Y hinggakan akhirnya Y yang jadi isu, bukan X.
Misalnya, saya timbulkan isu 'seks luar nikah'. Saya sebut seorang artis sebagai contoh.
Anda sebagai pembaca pula persoal penggunaan artis itu sebagai contoh.
Jadi, akhirnya kita berbahas tentang artis itu, bukan isu seks luar nikah.
2: Salah takrif, bang
A cakap tentang isu X. B pula tidak setuju dengan gelaran atau takrif A bagi isu X.
Timbullah perbahasan tentang mana satu takrif terbaik bagi isu X. Padahal isu X itu terus dilupakan.
Misalnya, saya timbulkan isu 'seks luar nikah'. Anda tidak setuju. Bagi anda, perkataan 'zina' lebih padat dan tepat.
Perbahasan kemudian berlegar tentang apa ungkapan yang harus kita gunakan.
Akibatnya isu asal terbengkalai.
3: Buang karankah?
A timbulkan isu X. B kata isu X 'buang karan', ada isu lebih penting.
Ini disusuli perbahasan tentang sama ada isu X wajar dibincangkan. Sayangnya, isu X tidak terbincang!
Misalnya, saya ketengahkan isu seks luar nikah. Anda kata buat apa; lebih penting bincang tentang kemerosotan nilai agama.
Akhirnya kita berbahas tentang sama ada 'seks luar nikah' isu penting atau tidak berbanding 'nilai agama', dan bukan tentang isu itu sendiri.
4: Salah panah
A timbulkan isu X. B tidak atau salah faham dan buat dakwaan tentang A.
Belum sempat A menjawab, orang lain sudah jadi 'pak turut' dakwa A serupa. Kasihan A kena jawab.
Misalnya, saya kata kita harus tangani isu 'seks luar nikah' dengan hikmah.
Anda pula sangka dan dakwa saya simpati pada penzina. Orang lain tumpang semeja.
Jadi, perbincangan kita tentang sama ada saya atau kita patut simpati pada penzina, bukan soal 'seks luar nikah'.
5: Orang jadi isu
A cakap tentang isu X. B kata A tidak layak cakap tentang isu X.
A pun kena bela diri. Maka yang jadi isu kini adalah A, bukan isu X.
Misalnya, anda dakwa saya tak layak cakap tentang 'seks luar nikah' kerana saya bukan ustaz. Saya bela diri, anda balas. Dan seterusnya. Dan seterusnya.
Isu seks luar nikah? Entah ke mana.
6: Fikrah tak sama
A cakap tentang isu X menurut pegangannya. B menyoal menurut pegangannya pula.
Akhirnya perbincangan tentang pegangan/fahaman mana yang lebih baik atau sesuai untuk menyelongkar isu X, bukan isu X itu sendiri.
Misalnya, saya bincangkan sesuatu isu menurut mazhab Syafii. Anda pula cakap dari segi mazhab Hanafi. Kededua kita enggan berganjak.
Jadi terjadilah pergeseran tentang fikrah dan ideologi, bukan isu X itu sendiri.
7: Tengok konteks
A cakap tentang isu X dari satu konteks. B pula lihat isu X dari konteks lain.
Akhirnya, A dan B berbalah kerana masing-masing mengikut konteks sendiri.
Misalnya, saya menulis tentang isu seks luar nikah untuk orang kebanyakan. Anda pula menegur saya dari konteks ilmiah.
Jadi, akhirnya kita bertelingkah bukan kerana isu seks luar nikah, tetapi kerana konteks perbahasan kita berbeza.
Ibarat kata seorang ustaz, ada dua jenis pelajar - pelajar yang mula belajar dengan 'tangki kosong' (sifar ilmu), dan pelajar yang bermula dengan 'separuh tangki' (ada ilmu).
Lebih sukar mengajar pelajar berilmu itu kerana dia akan cuba menapis segala ilmu baru berdasarkan ilmunya yang terdahulu.
Ingat kisah Nabi Musa dan Khidr?
Jadi kenapa saya senaraikan tujuh senario itu?
Tidak lain tidak bukan agar kita mudah mengelakkan perbincangan yang sia-sia. Macamlah formula.
Malah, formula ini boleh kita amalkan pada perbincangan tentang permasalahan dalam masyarakat kita sekarang ini.
Adakah membina atau 'buang karan' saja?
Akhir kalam, bukannya kita tidak boleh membincangkan isu menurut konteks, fahaman, takrif, kelayakan orangnya dan seterusnya.
Maksud saya, usah jadikannya halangan bagi kita membicarakan isu asal lantas mencapai kesepakatan dan huraian baginya. Apalagi membiarkannya memecahbelahkan kita.
Zaman ini bukan hati saja mesti baik, fikiran pun mesti terbuka.
Mujurlah maklum balas yang saya terima sejauh ini bernas dan berwibawa.
Cuma, harap bersabarlah menantikan tulisan saya tentang 'mengsainskan Islam' bahagian kedua.