Mudah cetak
E-mel
29 Jul 2010
KOMENTAR
PADA HEMAT SAYA
Pengaruh luaran yang meradikalkan
Oleh
Mohd Raman Daud
KIAN terdedah tembelang Amerika Syarikat dan sekutunya terhadap dua negara majoriti Muslim, Iraq dan Afghanistan.
Dalam kes Iraq, bekas ketua agensi risik Britain MI5, Cik Eliza Manningham-Buller, telah mendedahkan dalam Siasatan Iraq atau Siasatan Chilcot (sempena nama pengerusi Sir John Chilcot) mengenai perang Iraq, pada 20 Julai lalu, antara lain perakuannya:
Saddam Hussein hanya menimbulkan 'ancaman terbatas' di dalam negara Britain sebelum tahun 2003.
Agensi Risik Pusat Amerika (CIA) tidak percaya Iraq bertanggungjawab dalam peristiwa 9/11.
Menjatuhkan Saddam akan hanya membolehkan Al-Qaeda pimpinan Osama bin Laden memasuki Iraq.
MI5 tidak tertampung dengan ancaman dalam negeri selepas tahun 2003.
Sebagai pakar risik luar biasa, penjelasan Cik Buller bukanlah sekadar cereka dalam siri filem James Bond.
Kenyataannya menunjukkan betapa niat Britain, khususnya Perdana Menteri Tony Blair, mengada-adakan sebab supaya Amerika dan sekutunya, terutama Britain, dapat menyerang Iraq.
Bahkan Encik Hans Blix, ketua merinyu Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), telah mendapati bahawa rejim Saddam tidak mempunyai senjata pemusnah besar-besaran seperti yang didakwa Amerika dan Britain.
Beliau telah cuba meyakinkan Encik Blair agar Britain tidak terperangkap dalam jerangkap perang Amerika.
Itu baru siasatan Iraq yang belum beres kerana prosesnya panjang - menyelongkar penglibatan Britain daripada pertengahan 2001 sehingga Julai 2009. Siasatan bermula pada November tahun lalu.
Alih-alih tanpa sebarang siasatan rasmi, terdedah pula puluhan ribu dokumen rahsia Amerika mengenai Perang Afghanistan yang disalurkan menerusi pertubuhan WikiLeaks yang berpangkalan di Sweden.
Ia diusahakan oleh sekumpulan pesuaka dari pelbagai pelosok dunia, namun Encik Julian Assange dikenal pasti sebagai antara pengasasnya.
Encik Assange, warga Australia, merupakan seorang pakar godam komputer yang sering diburu pihak berkuasa, termasuk Amerika.
WikiLeaks kini menjadi ancaman pelbagai pemerintah seluruh dunia.
Namun, ia masih bertahan walaupun pernah mengalami kesempitan kewangan kerana tiada penaja yang berani tampil.
Pokoknya, ia telah menyiarkan banyak kisah 'rahsia' yang dimanfaatkan oleh media Barat sebagai tajuk berita utama.
Pendedahan dokumen rahsia Amerika tentu membuat Rumah Putih malu dan perlu mengadakan 'kawalan kerosakan' (damage control).
Baru-baru ini, Menteri Kanan Profesor S. Jayakumar mengingatkan di perhimpunan para pakar di Singapura mengenai ancaman di ruang siber.
Kes serupa kelumpuhan Kumpulan Bank DBS (walaupun disebabkan kesilapan teknikal dalaman) boleh berulang apabila penggodam berjaya memasuki benteng siber Singapura.
Namun, seperti kisah Sang Rajuna Tapa yang diceriterakan dalam Sejarah Melayu, benteng hanya bocor dengan pengkhianatan orang dalam. Dan pengkhianatan timbul apabila rakyat berasa dizalimi.
Oleh itu, bahan-bahan WikiLeaks merupakan hasil pembocoran oleh rakyat yang berasa dizalimi, hujah sesetengah pihak.
Memandangkan pendedahan ini semua berlaku di Barat, terdedahlah muslihat Amerika dan sekutunya dalam permainan politik dan kuasa di seluruh dunia.
Tentulahlah kisah begini membuat pelungsur Internet menjadi resah, apatah lagi jika diri dan masyarakatnya ditimpa musibah daripada 'permainan' tadi.
Hal inilah yang dimanfaatkan gerakan Al-Qaeda dan yang senafas dengannya untuk meracuni anak muda Islam yang sebenarnya berjiwa bersih untuk membela agamanya.
Bak diakui Cik Buller, kes serangan Britain di Iraq dan pembabitannya di Afghanistan telah meradikalkan anak muda Islam di Britain.
Akibatnya, umat Islam Britain terus dimata-matai setiap detik kerana dikhuatiri akan berkhianat. Hal ini diperburuk oleh keadaan umat Islam Britain yang terbelakang berbanding kaum lain.
Pendedahan demi pendedahan ini bak bertali arus. Hati mana tidak berasa pilu membaca perihal kezaliman yang dilakukan ke atas penduduk awam yang terkorban atau cacat dek tindakan askar yang sebenarnya ketakutan dan silap dalam membuat serangan.
Dalam usaha watan ini mengatasi proses meradikalkan diri, pemantauan mengenai suasana siber perlu dilakukan dengan teliti. Ia merupakan sumber paling ampuh dan amat sukar dibentengi oleh mana-mana pemerintah.
Contohnya, pemerintah China telah cuba menutup sebanyak mungkin laman yang antipihak berkuasa. Namun, setiap kali ditutup, muncul laman serupa di alamat lain. Jadi, suasana tutup dan buka ini bak lampu lap-lip menjelang Lebaran, kata seorang anak muda yang kaki komputer.
Cara terbaik ialah memastikan pendidikan agama Islam diajarkan dengan kurikulum terkini dan cukup menarik. Ini bermakna latihan berterusan untuk asatizah yang diiktiraf perlu dibuat agar mereka senantiasa segar dengan ilmu baru.
Malah di badan Islam dan masjid, wajar usaha memantau anak muda Islam disantuni dengan hati-hati agar mereka kian rapat dan terbuka dalam memberikan pandangan ikhlas. Hanya dengan keterbukaan dapat diketahui ufuk pemikiran anak muda kita dan cara menanganinya.
Namun, sedang kita khuatir anak muda kita menjadi pengganas melalui program penyesatan agama, terdapat juga anak muda yang ganas tanpa pedulikan agama.
Yang saya maksudkan ialah kes anak muda Islam dikeroyok kawan- kawan seagama di luar pub dan sebagainya. Mereka juga tidak boleh dibiarkan tetapi mestilah didampingi agar kembali ke pangkal jalan.