APAKAH Kemboja akan lebih sepadu, adil dan makmur sesudah proses pengadilan ke atas para dalang Khmer Rouge? Inilah persoalan besar selepas Comrade Duch, ketua penjara Tuol Sleng atau S-21, dijatuhi hukuman 30 tahun penjara (tetapi perlu melalui 19 tahun saja selepas tolak tempoh penangkapannya). Di tangannyalah ribuan orang - lelaki, wanita dan kanak-kanak - dihukum dan dibunuh.
Selanjutnya, Tribunal Kehakiman yang disokong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) akan mengadili pula empat lagi dalang iaitu Nuon Chea, Ieng Sary, Ieng Thirith dan Khieu Samphan. Dengan kos perbicaraan jutaan dolar, memang sudah lama timbul pertanyaan: apakah proses ini hanya sesia di negara yang serba daif? Tanpa sokongan dan tajaan negara maju, proses ini memang sukar dilaksanakan. Mentelah kekejaman Khmer Rouge yang memerintah dalam tempoh 1975-1978 mungkin tidak diketahui oleh majoriti rakyat Kemboja yang masih muda. Namun pengalaman perih ibu bapa atau datuk nenek mereka tampak begitu ketara sehingga mendorong proses pengadilan ini diadakan. Bahkan ketika Duch dijatuhi hukuman, ramai rakyat Kemboja dari seluruh pelosok negara itu telah berhimpun di ibu kota Phnom Penh.
Zaman Khmer Rouge atau pimpinan kejam Pol Pot akan tertinta dalam sejarah hitam Kemboja. Tetapi apakah punca sebenar sehingga rejim itu sanggup membunuh bangsanya sendiri? Adakah atas dasar membina suasana utopia sehingga dua juta orang terbunuh? Malah didapati rejim itu menyebabkan rangkaian pengintipan fitnah termasuk dalam kalangan anggota keluarga sendiri. Semua ini perlu didedahkan untuk mencari kebenaran dan agar ia tidak berulang.
Kini Kemboja cuba bangkit daripada kemelut perang saudara dan kesan penjajahan Vietnam. Sumber minyak dan gasnya telah ditemui beberapa tahun lalu dan bakal dijana untuk menghasilkan pendapatan asing. Namun ia memerlukan proses adil dan ihsan untuk membangun demokrasi dan ekonominya menerusi pelaburan ilmu dan kemahiran rakyatnya. Jika pimpinan Perdana Menteri Hun Sen (baru-baru ini melawat republik ini) dapat mengisi harapan besar watannya, Kemboja dapat meraih kembali kegemilangan sehebat zaman Angkor Wat yang antara peninggalan silam yang menakjubkan.