Mudah cetak
E-mel
9 Feb 2010
LUAR NEGARA
BICARA KES LIWAT ANWAR
Karpal mohon hakim dilucut, bicara ditangguh
Tidak puas hati cara Hakim Zabidin tangani liputan akhbar
KUALA LUMPUR: Perbicaraan hari keempat kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sepatutnya dijalankan semalam telah ditangguhkan kepada 9.30 pagi ini.
Ini berlaku selepas ketua barisan peguam yang mewakili Ahli Parlimen (AP) Permatang Pauh itu, Encik Karpal Singh, membuat permohonan supaya Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohamad Zabidin Md Diah, dilucutkan daripada mendengar perbicaraan itu, lapor beberapa media setempat.
Encik Karpal membuat perhomonan itu sambil mengetengahkan rasa tidak puas hati pihak pembelaan atas keputusan Datuk Mohamad Zabidin berhubung cara hakim itu menangani liputan akhbar Utusan Malaysia terhadap kes tersebut, kata laman berita The Malaysian Insider, semalam.
Datuk Mohamad Zabidin enggan mengenakan tindakan menghina mahkamah ke atas Utusan Malaysia pada perbicaraan kes itu.
Lantaran itu, Encik Karpal telah membuat permohonan tersebut pada permulaan perbicaraan hari keempat terhadap kes liwat itu.
Datuk Seri Anwar, 62 tahun, didakwa telah meliwat bekas pembantunya, Encik Mohd Saiful Bukhari Azlan, yang ketika itu berusia 23 tahun, di Kondominium Desa Damansara pada 26 Jun 2008.
Beliau menafikan dakwaan itu, yang kedua dihadapi dalam masa 12 tahun, sebagai satu konspirasi politik.
Dalam permohonannya, Encik Karpal berkata ia dibuat berdasarkan rasa tidak puas hati pihaknya atas cara hakim berkenaan menangani liputan Utusan Malaysia yang 'menimbulkan elemen bahaya bagi pihak hakim perbicaraan yang arif', lapor The Malaysian Insider.
Menurut afidavit itu, Utusan Malaysia, pada 4 Februari lalu, menerbitkan laporan muka depan dengan tajuk berita, 'Tak rela diliwat lagi', dengan gambar Datuk Seri Anwar dan Encik Mohd Saiful pada setiap sudut laporan itu.
Di muka tiga akhbar pada hari yang sama, ia memuatkan laporan bertajuk, 'Berhenti kerana tidak mahu diliwat lagi'.
Dalam dua hal berkenaan, Utusan Malaysia telah menggunakan perkataan 'lagi' dalam laporannya, yang menjadi bahan pertikaian oleh pihak pembelaan semasa perbicaraan kes tersebut.
Pada keesokan harinya pula, Utusan Malaysia menerbitkan sebuah gambar yang diberi keterangan gambar: 'Mohd Saiful menunjukkan katil di bilik tidur utama tempat beliau mendakwa diliwat Anwar Ibrahim kepada Hakim Mohamad Zabidin Mohd Diah ketika melawat kondominium tempat kesalahan itu dilakukan...'
Encik Karpal telah memohon kepada pihak mahkamah supaya menyebut tindakan Utusan Malaysia itu sebagai menghina mahkamah kerana menurutnya, apa yang diterbitkan dalam edisi pada 4 Februari lalu itu sama dengan menghina mahkamah.
Datuk Mohamad Zabidin, bagaimanapun, menolak permohonan itu atas dasar bahawa 'laporan-laporan yang disebut itu tidak dibuat dengan tujuan nakal dan mengganggu prosiding perbicaraan' dan turut enggan memberi amaran kepada akhbar itu berhubung laporannya pada 5 Februari lalu yang dianggap oleh pihak pembelaan sebagai satu laporan berita mengelirukan.
Encik Karpal memberitahu wartawan bahawa alasan utama bagi permohonannya itu ialah kerana beliau mahukan satu perbicaraan yang adil.