KUCHING: Angkara cemburu buta, seorang gadis bukan saja dipukul dengan tukul, malah kemaluannya turut dirodok dengan botol deodoran oleh tunangnya selepas berlaku pertengkaran antara mereka berdua di sebuah rumah di Matang, dekat sini, Isnin lalu.
Dalam kejadian sekitar 11.30 malam itu, mangsa berusia 23 tahun yang bersendirian di rumah, didatangi tunangnya, berusia lingkungan 20-an tahun.
Difahamkan, pertemuan itu mencetuskan pertengkaran yang dipercayai berpunca daripada perasaan cemburu buta lelaki tersebut terhadap mangsa sebelum dia mengambil tukul dan membelasah mangsa.
Akibat perlakuan ganas itu, mangsa cedera hampir seluruh badan.
Namun lelaki berkenaan tidak berhenti di situ saja.
Dia kemudian mengambil botol deodoran milik mangsa lalu merodok kemaluan wanita tersebut.
Apabila melihat mangsa kesakitan, suspek melarikan diri.
Mangsa menghubungi seorang ahli keluarganya memberitahu kejadian itu sebelum membuat laporan polis.
Mangsa dibawa ahli keluarganya mendapatkan rawatan di Hospital Umum Sarawak dan keadaannya dilaporkan stabil walaupun masih trauma dengan kejadian itu.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Mun Kok Keong, mengesahkan kejadian berkenaan.
Operasi mencari suspek telah dilancarkan tetapi sehingga kini polis belum membuat sebarang tangkapan. -- Harian Metro.