cyBerita: Lelaman Internet Berita Harian Singapura.


Singapura

PARLIMEN

KEMENTERIAN PENERANGAN, PERHUBUNGAN DAN KESENIAN

Tindakan ke atas MediaCorp jika cuba halang persaingan

PENGUASA Pembangunan Media (MDA) tidak teragak-agak mengambil tindakan terhadap syarikat MediaCorp jika ia didapati melakukan tindakan yang menghalang persaingan dalam sektor penyiaran dan penerbitan majalah, kata Pemangku Menteri Penerangan, Perhubungan dan Kesenian, Encik Lui Tuck Yew.

Beliau berkata, sejauh ini tiada bukti yang menunjukkan MediaCorp melanggar peraturan Kod Tatalaku Pasaran Media (MMCC).

Justeru, tiada sebab syarikat itu perlu mengasingkan unit perniagaannya.

Berucap dalam perbahasan peruntukan Belanjawan bagi kementeriannya di Parlimen semalam, Encik Lui turut membentangkan laporan mengenai sekitaran persaingan dalam industri media.

'Anggota Dewan mungkin ingat kita membuka pasaran televisyen percuma beberapa tahun lalu dengan kemasukan MediaWorks.

'Hakikat pasaran menunjukkan pasaran televisyen percuma setempat tidak dapat mengekalkan kehadiran MediaCorp dan MediaWorks dan ini menyebabkan persetujuan di antara mereka untuk bergabung,' jelas Encik Lui.

Namun, beliau akur bahawa industri media yang bertenaga tidak harus hanya bergantung kepada MediaCorp.

Syarikat-syarikat penerbitan bebas juga perlu membina keupayaan, tambahnya.

'Peraturan dana rancanganrancangan Siaran Khidmat Awam (PSB) menetapkan jumlah minimum dengan MediaCorp perlu menggunakan khidmat syarikat penerbitan bebas.

'Jumlah ini telah dinaikkan daripada 500 jam pada 2005 kepada 700 jam tahun lalu,' jelas Encik Lui.

Sehubungan dengan itu, MDA juga telah mendapatkan khidmat syarikat penerbit bebas untuk menghasilkan rancangan-rancangan khidmat awam.

Menurut beliau, sejauh ini sebanyak 350 jam rancangan PSB telah dihasilkan, kebanyakannya oleh syarikat penerbit bebas.

Beralih kepada industri penerbitan majalah pula, Encik Lui berkata bahawa sekitaran persaingan di sini amat baik.

Selain SPH Magazines dan MediaCorp Publishing, terdapat hampir 100 penerbit lain dalam pasaran.

'Kami tiada halangan terhadap penerbitan majalah di Singapura selagi ia mematuhi panduan penerbitan MDA.

'Terdapat sekitar 2,600 penerbitan setempat dan 5,500 penerbitan dari luar negara yang diedarkan di Singapura.

'SPH dan MediaCorp keduaduanya membentuk hanya 1 peratus daripada penerbitan tersebut,' kata Encik Lui.




Copyright © 2010 SPH AsiaOne Ltd. All rights reserved.
Privacy Statement Conditions of Access Advertise @ AsiaOne