cyBerita: Lelaman Internet Berita Harian Singapura. |
|
Istimewa Kalau kaum Hawa ingin teruskan 'jogging' pada waktu malam... lebih waspadalah
ANGIN malam yang berhembus sepoi-sepoi bahasa membelai dingin tubuh seorang gadis yang sedang berlari-lari anak di pinggir jalan yang sunyi itu. Memang enak bersenam dan berlari-lari anak pada malam hari. Cuaca malam memang lebih dingin. Asap dan bau kimia petrol terbakar dari kenderaan di jalan raya pula jarang menusuk rongga hidung. Cik Sofia Mohd Lamri, 22 tahun, memandang ke kiri dan ke kanan. Tiada sesiapa di sekitarnya, kecuali beberapa kenderaan yang sesekali bergerak pantas di jalan raya di sebelahnya. Lelaki yang berlari-lari anak di belakangnya sebentar tadi telah lama memotongnya dan kini lesap nun jauh. Cik Sofia berhenti sejenak untuk mengesat peluh dan meneguk air daripada botol air plastik berjenamanya. Selepas mengemaskan ikatan rambutnya, Cik Sofia pun meneruskan lariannya. Jumlahnya tidak ramai, namun gadis-gadis seperti Cik Sofia yang gemar berlari-lari anak pada waktu malam tetap ada. Tinjauan rambang Berita Minggu mendapati bahawa seperti Cik Sofia, mereka berbuat demikian kerana pelbagai faktor seperti kesuntukan masa setelah bekerja seharian, cuaca dingin yang lebih nyaman dan udara malam yang lebih segar. Menurut Cik Sofia, beliau juga berlari-lari anak untuk menenangkan fikiran. 'Saya berlari-lari anak pada waktu malam kerana ingin menghilangkan stres selepas sehari bekerja. 'Udara malam lebih nyaman dan pejalan kaki pula tak ramai... saya berasa lebih selesa,' ujar pegawai pemasaran itu yang berlari-lari anak di estet perumahan Woodlands, dua kali seminggu. Awal minggu lalu, seorang gadis berusia 23 tahun menjadi mangsa terbaru serangan rambang semasa beliau berlari-lari anak di sebuah taman berdekatan Yishun Avenue 6. Mengikut laporan akhbar The New Paper, gadis yang bertugas sebagai pegawai penjagaan itu mengalami kecederaan di wajahnya setelah diserang seorang lelaki yang tidak dikenali. Lebih membimbangkan, serangan tersebut berlaku sekitar 11 pagi dan ia bukanlah yang pertama melibatkan wanita yang sedang berlari-lari anak di kawasan sunyi itu, walaupun biasanya ia berlaku pada sebelah malam. Kejadian terbaru itu membuat Cik Nurmaya Alias, 27 tahun, berasa ngeri dan berfikir dua kali untuk berlari-lari anak pada waktu malam. 'Dulu saya memang gemar berlari-lari anak pada waktu malam... tapi kini saya akan mulakan lebih awal dan pulang ke rumah sebelum 10 malam,' ujar Cik Nurmaya, seorang penulis. Tambah Cik Nurmaya yang tinggal di Sembawang, beliau tidak berani berlari-lari anak sehingga larut malam kerana bimbang dikejar anjing atau diganggu orang yang tidak dikenali. 'Buat masa ini, memadailah saya berlari sebaik-baik sahaja pulang dari pejabat atau pada hujung minggu, apabila masih ramai orang berada di jalan raya,' katanya. Cik Nur Amanina Ismail, 26 tahun, pula berpendapat bahawa masa yang diluangkan oleh seseorang untuk berlari-lari anak adalah satu pilihan peribadi dan sukar untuk seseorang yang selalu berlari pada waktu malam untuk mengubah jadual hariannya. 'Ada orang berasa bahawa senamannya lebih berkesan pada malam hari apabila cuaca dingin. 'Saya pula tidak suka berlari-lari anak apabila hari sudah terlampau gelap sehingga sukar melihat sesuatu yang jauh. 'Sebab itulah saya akan menamatkan larian saya sebelum senja. Pokoknya, setiap orang mempunyai citarasa sendiri,' ujar Cik Amanina. Akur, Cik Sofia berasa bahawa seseorang itu tidak akan atau perlu mengambil tindakan drastik seperti berhenti berlari-lari anak hanya kerana sesuatu jenayah telah berlaku. Sebaliknya, mereka harus sentiasa mengambil langkah berwaspada apabila berlari seperti memilih kawasan yang tidak terlalu gelap atau sunyi dan memberitahu anggota keluarga akan laluan mereka. 'Malang memang tidak berbau, tetapi kita bertanggungjawab untuk mencuba seberapa boleh menjauhkan diri daripada bahaya,' kata Cik Sofia. |
|
Copyright © 2010 SPH AsiaOne Ltd. All rights reserved.
Privacy Statement Conditions of Access Advertise @ AsiaOne |