cyBerita: Lelaman Internet Berita Harian Singapura.


Ekstra!

REMAJA MINGGU INI
Puteri niaga

Mahasiswa manfaatkan 'Facebook' untuk dekati pelanggan

Oleh
Noorkiah Mohd Hashim

Mahasiswa NTU

ANDA mungkin antara golongan anak muda yang tidak sanggup merenangi lautan manusia di bazar Geylang semata-mata untuk mencari baju raya dan pelengkap-pelengkap rumah sempena Syawal kelak. Namun, usah bimbang.

Ini kerana dalam zaman serba canggih ini, terdapat sumber alternatif untuk kita berbelanja bagi persiapan Aidilfitri.

Fungsi laman rangkaian sosial, Facebook, bukan hanya sekadar memperluaskan jaringan sosial seseorang tetapi ia boleh dijadikan wadah untuk memperkenalkan dan memasarkan barangan-barangan yang dijual.

Begitu cara Nur Syifaa' Hussin mempromosikan barang-barangan yang dijualnya.

Laman profil Facebook-nya dipenuhi dengan gambar-gambar busana Muslimah, alas meja, sarung kusyen, shawl, biskut-biskut dan hijab. Tujuannya ialah supaya mereka yang berminat dapat melihat pelbagai corak dan warna sebelum menempah pesanan.

Semasa diwawancara baru-baru ini, mahasiswa Universiti Malaya (UM), berusia 21 tahun itu menekankan aspek 'kelainan' dari segi fesyen jika seseorang itu mahu tampil bergaya. Beliau sendiri mempunyai penampilan unik dengan tudungnya diikat dengan cara berbeza sehinggakan sering ditanya teman-teman di mana mendapatkan tudung tersebut dan cara terbaik melilitnya.

Kata Nur Syifaa', 21 tahun: 'Kita perlu akur wanita pasti mahu kelihatan cantik dan bergaya, terutama sekali semasa musim raya. Mereka juga enggan tampil dengan sesuatu gaya pakaian yang sama dengan 100 orang lain.

'Sejak kecil lagi, ibu saya menjahit baju saya sendiri dan dari sinilah terlintas di fikiran saya untuk membuat satu koleksi pakaian yang lain daripada lain. Mentelah lagi, saya perhatikan bahawa tidak mudah untuk mendapatkan sesuatu pakaian yang cantik dan menutup aurat.'

Pelajar tahun akhir jurusan Pengajian Melayu itu mula berjinak-jinak dengan bidang niaga sewaktu menanti keputusan Sijil Am Pelajaran (GCE) Peringkat 'A' pada tahun 2007. Disebabkan sukar untuk mendapatkan pekerjaan, beliau melakukan perniagaan secara kecil-kecilan iaitu dengan menjual biskut chocolate chip yang dibuatnya sendiri. Semasa melanjutkan pelajarannya di negara jiran, Nur Syifaa' pula kerap membawa barang-barang kecil seperti tudung dan kerongsang untuk dijual kepada teman-teman.

Dewasa ini, perniagaannya diperluaskan kepada menjual pakaian Muslimah seperti jubah dan baju-baju ala Bollywood. Kebanyakan koleksi pakaian tersebut dibawa ke sini dari India, Indonesia, Malaysia dan Arab Saudi. Ada juga yang direka saudaranya, Faradina Abu Bakar Ba'toa.

'Peniagaan jubah bermula gara-gara ibu angkat saya, Nora Bawany, ghairah menunjukkan barang-barang yang dibelinya dalam satu lawatan bisnes ke India.

'Sewaktu meneliti jubah tersebut, terlintas di fikiran saya bahawa barang-barang ini lain daripada lain dan lebih cantik serta baik. Jadi, saya dan ibu angkat saya telah pun ke India untuk mendapatkan jubah tersebut dan juga alas meja untuk dijual.

'Kebanyakan barang yang dijual berasal dari luar negara. Negara-negara ini menjadi pilihan kerana saya mempunyai ramai saudara atau kenalan yang tinggal di sana. Jadi, ia mudah untuk saya sama ada untuk membuat pesanan atau tempahan daripada mereka atau mencari pakaian-pakaian yang sesuai dari negara tersebut untuk dijual di Singapura.

'Walaupun ada juga kedai-kedai yang menjual barang-barang tersebut di Singapura, kadang-kadang fesyen barang ini sudah tidak begitu diminati. Oleh itu, saya pergi ke pelbagai tempat untuk memilih sendiri apa yang sesuai mengikut trend semasa. Itu yang membuat barang saya unik. Tambahan pula, saya kerap membaca majalah seperti Cleo, Sutra dan Her World untuk mendapatkan tip-tip fesyen dan warna pilihan untuk setiap musim atau masa,' katanya.

Menurutnya lagi, ini penting kerana dalam usaha menggayakan sesuatu yang berlainan, beliau perlu menggabungkan dan mengubahsuaikan sesetengah fesyen supaya ia dapat diterima masyarakat yang bertudung.

'Sebagai pola, saya akan menggayakan baju tanpa lengan dengan sehelai kemeja-T lengan panjang dan shawl. Dengan cara ini, ia dapat menambahkan tarikan pada pakaian tersebut dan ia boleh diubah mengikut keperluan majlis yang dihadiri,' jelas Nur Syifaa'.

Buat masa ini, Nur Syifaa' merancang mengembangkan bisnesnya dengan bekerjasama dengan rakan kongsinya untuk mengusahakan label mereka sendiri. Mereka sedang menantikan ketibaan koleksi pertama untuk bisnes terbaru mereka iaitu koleksi Niky & Eva.

Menurut Nur Syifaa', koleksi sulung Niky & Eva ini lebih kepada kelengkapan seperti shawl dan pakaian seperti kurta dan ia dijadualkan tiba di ambang Syawal, Jumaat ini. Menariknya ialah label ini juga bakal diletakkan di sebuah butik di India.

'Ia akan menjadi sesuatu yang menyeronokkan jika suatu hari nanti apabila sesiapa menanyakan dari mana saya membeli pakaian tersebut, saya boleh mengatakan bahawa ia label saya sendiri,' katanya, ceria.

Nota: Sesiapa yang berminat untuk melihat koleksi pakaian dan kelengkapan raya yang diusahakan Nur Syifaa', boleh menjadi teman Nur Syifaa di laman Facebook, Nur Syifaa' Hussin (umum), dan Syifaa' Works (hanya untuk kaum wanita sahaja).


Copyright © 2010 SPH AsiaOne Ltd. All rights reserved.
Privacy Statement Conditions of Access Advertise @ AsiaOne