cyBerita: Lelaman Internet Berita Harian Singapura.


Ekstra!

Kenangan terindah

Watak kaki memberontak bagai semberani menarik Robert berhijrah daripada 'Twilight'

By Haryani Ismail

SI kaki memberontak mempunyai hubungan tegang dengan bapanya sejak tragedi ngeri saudaranya membunuh diri.

Tyler (Robert Pattinson) tidak mampu memahami mengapa kehidupannya menjadi huru-hara sehinggalah beliau bertemu Ally (Emilie de Ravin) secara kebetulan dan tanpa diduga.

Ally begitu cekal menjalani kehidupannya hari demi hari selepas menyaksikan ibunya dibunuh dalam satu kes jenayah menyayat hati.

Tyler yang tampan, dalam pada itu, tidak sangka akan jatuh cinta tetapi semangat positif Ally mendorong beliau mencari kebahagiaan dan pengertian dalam hidupnya. Lama-kelamaan mereka saling terpaut tetapi diancam bahaya dipisahkan walau cinta itu terbina utuh.

Jika anda antara yang mabuk kepayang kepada Edward Cullen, si pontianak jantan dalam Twilight, tentunya anda akan lebih terpaut menontonnya dalam Remember Me, filem tentang pentingnya 'kuasa' cinta dan kekuatan pertalian keluarga.

Baru-baru ini, pemuda berusia 23 tahun itu diajukan pelbagai soalan oleh media dalam satu sesi sidang akhbar Remember Me.

Inilah jawapannya.

Soalan (S): Pernahkah timbul suatu masa di mana anda sedang duduk bersama pengarah, Alan Coulter, dan anda rasa tertarik untuk menerbitkan 'Remember Me'?

Pattinson (P): Mengenai hal penerbitan ini, saya agak malu untuk menyatakan bahawa saya menerbitkan filem ini. Saya bukannya penerbit 100 peratus. Saya hanya membantu Alan selepas syuting untuk memastikan inilah produk yang ingin kami pasarkan.

Segala-galanya berlaku sepurnama selepas selesai penggambaran Twilight. Saya membaca naskhah filem ini dan tertarik pada plotnya.

Saya berbincang berjam-jam lamanya dengan Alan. Saya dapati filem ini tidak seperti filem lain.

Watak Tyler mampu saya kaitkan dengan kehidupan saya. Sudah 100 skrip lain saya baca. Hanya Tyler yang 'melekat' di hati saya.

Memandangkan saya hanya mempunyai waktu rehat dua bulan antara penggambaran New Moon dan Eclipse, Remember Me memberi saya kepuasan berhijrah melakonkan filem dengan genre lain pula.

S: Adakah anda tertarik pada watak Tyler yang memberontak terhadap bapanya?

P: Entahlah. Tak pasti sama ada sikap memberontaknya menarik perhatian saya. Ada kalanya saya rasa Tyler tidak tahu apa yang membuat beliau ingin bertelagah dengan bapanya. Tidak kiralah, bapanya bagaimana atau orang sekelilingnya bagaimana, beliau tetap suka memberontak.

Cuma yang menariknya, beliau hanya ingin menentang bapanya dan bukan orang lain. Mungkin kerana keluarganya berantakan dan beliau menyalahkan bapanya, menujukan segala kemarahan terhadap orang tua itu. Bapanya jenis orang yang tidak begitu mengambil pusing terhadap kemarahannya.

Kalau Tyler memarahi ibunya, mungkin ibunya bersedih dan membunuh diri. Beliau terlalu terkesan dan terluka sehingga tidak mampu menangani semua ini. Bagaimanapun, saya tertarik dengan sikap Tyler yang seperti anak muda lain, kadangkala buat- buat naik radang untuk menarik perhatian. Yang buat mereka meradang bukan orang lain tetapi rasa tidak puas terhadap diri mereka sendiri.

S: Si cilik, Ruby Jerins, sebagai rakan berlakon anda - bagaimana orangnya?

P: Dia berdikari, buat segala-galanya sendiri. Saya tanya kepadanya anda tahu tentang watak anda? Dia menghayati wataknya dengan baik. Dia menyalin nota di setiap perbincangan dengan pengarah.

Saya kira dia akan menjadi pelakon yang berwibawa lagi disegani suatu hari nanti. Cakap apa saja kepadanya dan walaupun kamera tiada di depan matanya, dia tetap menghidupkan wataknya.

Orangnya amat bijak dan matang untuk kanak-kanak seusianya. Walaupun teman-teman sebayanya kecil-kecil belaka, entahlah... sejurus di hadapan kamera, Ruby jadi anak yang begitu matang. Dia mudah dijadikan gandingan berlakon. Anda tidak perlu memujuk atau mengajarnya untuk berlakon.

Pandang sahaja wajahnya. Anda tidak rasa kekok bersamanya. Dia mengajar anda keyakinan diri walaupun dia jauh lebih muda dan dia suka mengusik saya. Katanya, saya ini 'cacat' setiap kali saya tersilap dialog atau tidak mampu menjiwai watak saya. Itulah keistimewaan gadis berusia 11 tahun itu.

Sejauh mana Remember Me mampu membuat anda digamit memori indah menitiskan air mata dek tersentuh dengan plotnya, hanya anda sahaja yang tahu jika anda mengajak teman baik atau kekasih anda untuk menonton filem pergolakan emosi ini.

Nota: 'Remember Me' ditayangkan di pawagam mulai hari ini.


KUIZ 1

  • Menangi hamper wayang 'Remember Me', tajaan Shaw Movies, yang mengandungi sepasang pas musiman untuk menonton filem ini, jurnal filem dan poster wayang.

  • Caranya mudah. Jawab soalan berikut dan e-mel kepada haryani.ismail@gmail selewat-lewatnya Ahad ini. Sertakan nama, alamat, usia, nombor telefon dan pekerjaan anda.

  • Namakan watak Robert Pattinson dan Emilie de Ravin dalam 'Remember Me'.


  • Copyright © 2010 SPH AsiaOne Ltd. All rights reserved.
    Privacy Statement Conditions of Access Advertise @ AsiaOne