MUKA DEPAN
SINGAPURA
DUNIA
SUKAN
EKSTRA!
KOMENTAR
FORUM
EKONIAGA

  
Mudah cetak
E-mel

9 Feb 2010

EKSTRA!

TAHUN BARU CINA

RONA MASYARAKAT

Meriah, nyaman di bazar Chinatown

Kuih tradisional Melayu dan India tembusi pasaran masyarakat Cina

Tak kenal maka tak cinta. DEWANI ABBAS, yang baru pertama kali melawat bazar Tahun Baru Cina di Chinatown, tertarik dengan suasananya dan membuat perbandingan dengan suasana bazar Hari Raya di Geylang Serai, sementara ABDUL RAUUF MASKHAZIN meninjau beberapa makanan istimewa di bazar itu. Turut disorot ialah kesibukan beberapa orang Melayu memenuhi tempahan kuih yang dipesan warga Cina sempena perayaan mereka.

HIASAN bermotif naga berwarna merah dan emas yang merintangi Eu Tong Sen Street dan New Bridge Road cukup menceriakan suasana malam di Chinatown.

Apatah lagi dengan pokok-pokok cherry blossom plastik berwarna merah jambu yang berkelap-kelip di pinggir jalan - sesuai dengan tema sambutan Tahun Baru Cina tahun ini, 'Perayaan Musim Bunga'.

Penulis ke sana untuk meninjau bagaimanakah keadaan bazar Tahun Baru Cina di kawasan itu menjelang sambutan Tahun Baru Cina yang akan jatuh pada 14 Februari nanti - pengalaman penulis yang pertama ke bazar tersebut.

Jalan raya di luar kelihatan indah, damai dan tidak begitu sibuk - itulah kesan pertama.

Terdetik pula di hati, di manakah bazar sebenar yang menjadi sasaran? Tidak terlihat pun dari aras jalan raya besar?

Namun, masuklah ke lorong-lorong bersebelahan Mosque Street bertentangan dengan pintu masuk stesen MRT Chinatown. Segala-galanya berubah.

Pemandangan di depan mata menjadi begitu hidup, dengan masyarakat Cina berlalu-lalang membeli-belah untuk persiapan hari kebesaran mereka.

Yang jelas, warna merah - tanglung merah, sarung kusyen merah, bunga merah, skrol ucap selamat berwarna merah, harimau merah (harimau adalah lambang Tahun Baru Cina tahun ini) - lebih menguasai seluruh pemandangan di lorong-lorong kecil itu.

Laungan suara penjaja menggoda pengunjung untuk membeli barangan mereka, berselang-seli dengan lagu Gong xi fa cai yang berkumandang dengan kuatnya hingga membingitkan suasana, serupa di bazar Hari Raya Geylang Serai dari segi riuh-rendahnya.

Cuma di bazar Hari Raya, suasananya lebih berwarna-warni hasil pantulan aneka baju kurung dan selendang warna-warni yang bergantungan di sana sini.

TIADA PENGEMIS

Tetapi berjalan-jalan di dalam bazar di Chinatown ini terasa lebih nyaman berbanding di bazar Hari Raya Geylang Serai kerana sekitarannya yang kelihatan lebih bersih, gerai-gerai lebih teratur, lantai tail yang lebih mantap dan yang ketara, tiada pengemis, kecuali seorang saja lelaki yang berseluar pendek dan kelihatan cacat, duduk di lantai. Itu pun, seketika kemudian, beliau hilang dari pandangan.

Terbayang di mata betapa ramainya pula pengemis di bazar Raya, bukan saja di Geylang Serai, malah di tempat-tempat lain seperti di bazar sekitar Masjid Sultan.

Semasa dihubungi, pengerusi jawatankuasa penganjur bazar Tahun Baru Cina Chinatown, Encik David Ong, 48 tahun, menjelaskan bahawa pihaknya memang telah membuat perjanjian dengan semua hampir 600 pegerai di situ agar mematuhi peraturan kebersihan dan keselamatan di bazar tersebut.

Lantaran itu aktiviti memasak tidak dibenarkan biarpun untuk membakar dendeng daging atau menggoreng pisang seperti yang dilakukan di sebahagian bazar Hari Raya.

'Mereka hanya boleh jual makanan yang sudah dimasak, tapi secara keseluruhan kami galakkan mereka menjual makanan tradisional saja,' terang Encik Ong, seorang penerbit buku.

'Tetapi, yang lain, kami serahkan kepada penjaja untuk menjualnya, bergantung kepada permintaan dan bekalan,' tambahnya yang juga pengerusi Jawatankuasa Perundingan Rakyat (CCC) Kreta Ayer dan Kim Seng.

Lantas, kita akan kurang melihat pakaian dijaja, kecuali baju-baju ceongsam kanak-kanak, ataupun permaidani, langsir dan segala persiapan kelengkapan rumah yang menjadi kegemaran orang Melayu untuk membeli setiap tiba Hari Raya.

Tidak juga terlihat ada syarikat mengambil kesempatan menjual kereta atau perabot.

Namun, kelebihan di bazar Chinatown ini ialah adanya restoran-restoran yang tetap beroperasi dengan galaknya di sepanjang lorong-lorong bazar itu bagi memenuhi keperluan pengunjung yang ingin menjamu selera.

MAKANAN CEMIL-CEMILAN

Penulis tertarik dengan banyaknya makanan cemil-cemilan dari Taiwan yang dijajakan sebagai santapan Tahun Baru Cina seperti aneka jenis jeli, aneka jenis kacang dan aneka jenis makanan kering daripada hasil laut.

Semuanya dibungkus dalam bungkusan kecil menarik berwarna-warni.

Namun, yang menarik perhatian ialah deretan botol-botol kuih - sama seperti di bazar Raya Geylang Serai. Cuma harganya tampak lebih rendah - $10 untuk empat botol kecil. Rempeyek, muruku dan kuih ros pun ada dijual, tanda kuih tradisional Melayu dan India telah turut menembusi pasaran masyarakat Cina.

Di tengah kesibukan di bazar itu, kelihatan dua beradik, Cik Connie Tay, 22 tahun, dan adiknya, Cik Yvonne Tay, 20 tahun.

Pada malam sebelum jam 10 itu, anak muda seperti mereka biasanya lebih suka ke Orchard Road, tetapi demi menjunjung budaya dan merasakan suasana perayaan, mereka ke bazar Chinatown.

'Saya ke mari untuk beli kuih-kuih Tahun Baru Cina untuk keluarga. Saya ingat nak beli kuih-kuih manis untuk kanak-kanak dan yang tidak manis untuk orang dewasa,' kata Cik Connie Tay, pelajar di Institut Pembangunan Pengurusan Singapura (MDIS) yang sudah dua kali ke bazar itu sejak ia dibuka pada 23 Januari lalu.

Beliau memberitahu akan ke sana lagi pada hari terakhir sebelum Tahun Baru Cina untuk mendapatkan tawaran harga kuih yang lebih rendah.

Dijangka ketika itu suasananya akan sama sibuk dan kecoh seperti di bazar Raya Geylang Serai sehari sebelum Aidilfitri.

Apatah lagi kalau ada persembahan tarian singa dengan iringan pukulan gongnya.

 
   
   
 

EKSTRA!

 
 
Wira elit
 
 
Plot bercelaru, mengundang mata beradu
 
 
Siapa juara?
 
 
Belum temui sasaran
 
 
Penonton disogok sejarah Clarke Quay
 
 
Penulis ada 'bahan' tapi pentas 'lelah'
 
 
Luah isi hati menerusi lukisan
 
 
Lagu sekadar hiburan
 
 
Bieber 'raja' YouTube
 
 
Joss Stone jadi Bond Girl
 
 
Kuiz precious