MUKA DEPAN
SINGAPURA
DUNIA
SUKAN
EKSTRA!
KOMENTAR
FORUM
EKONIAGA

  
Mudah cetak
E-mel

9 Feb 2010

EKSTRA!

MAKAN ANGIN
Oh! Oh! Balik kampung...

Ingin percutian yang unik? Apa kata melancong saja ala 'homestay'. Pembaca Ekstra berkongsi pengalaman bercuti di Kampung Pelegong di Negeri Sembilan. Malah, anda tidak perlu melancong jauh untuk pengalaman percutian yang menyegarkan di Pulau Langkawi.

Oleh
Normala Alias

SETELAH sekian lama hidup di kota metropolitan Singapura, bayangkan keghairahan kami apabila bercuti di Kampung Pelegong, Negeri Sembilan, ala homestay.

Ketibaan kami di kampung, yang terletak hanya lapan kilometer dari Plaza Tol Seremban, Lebuh Raya Utara Selatan disambut meriah dengan paluan kompang seperti sebuah majlis perkahwinan.

Majlis taklimat diadakan di dalam dewan balai raya kampung dan kami pun diperkenalkan kepada empat keluarga angkat.

Keluarga saya dipadankan dengan pasangan Pak Abu dan Cik Pah, yang langsung membawa kami ke rumah mereka selepas majlis taklimat.

Rumah keluarga Pak Abu mempunyai dua bilik tidur tetamu, cukup untuk keluarga saya yang ada enam orang. Bilik tidur kami mempunyai katil 'queen size' dan bilik air yang bersih.

Bersebelahan rumah keluarga angkat saya pula ada dusun buah- buahan dengan pelbagai jenis pokok seperti durian, manggis, ciku, limau bali, nangka, sukun, kelapa, rambutan, dukong (cantuman duku dan langsat) dan ada juga pohon tongkat ali yang tegak dan tinggi.

Kami tiba di Kampung Pelegong tepat pada masa untuk makan tengah hari. Kami dijamu makanan kampung asli - lauk ikan lemak cili padi dan ulam-ulaman.

Selepas perut kenyang, kami berehat sebentar sebelum dibawa ke sebuah jeram yang merupakan air terjun kecil.

Kami sekeluarga 'berendam'. Airnya sejuk dan menyegarkan, dan dengan jeram itu hanya dikunjungi keluarga kami, ia amat selesa.

Dalam perjalanan pulang ke rumah selepas puas bermain air, kami bertembung dengan sekawan lembu yang mengelilingi kenderaan kami sehingga membuat kami cemas seketika.

Mujur pemilik lembu-lembu itu berjaya memberi laluan kepada kereta kami untuk bergerak.

Sekembalinya ke rumah keluarga angkat, saya sekeluarga dijemput duduk bersantai di berandah rumah sambil menjamah pisang goreng panas.

Sambil mulut kami menguyah, kami sempat menikmati pemandangan indah Kampung Pelegong, walau dalam suasana hujan renyai.

Hari kian semakin gelap dan masanya sudah tiba untuk kami berehat sebelum memulakan aktiviti malam.

Aktiviti itu melibatkan kami belajar bermain alat muzik tradisional Negeri Sembilan iaitu Cak Lempong yang berbentuk seperti gamelan. Kami juga diajar menari Tarian Piring daripada beberapa beliawanis kampung.

Suasana kampung seolah-olah menghilangkan perasaan malu kami, termasuk Atuk Alias, yang merupakan ahli rombongan yang tertua.

Kami tertawa besar melihat tariannya! Cara baik untuk mengakhiri malam pertama kami di Kampung Pelegong.

Kalau di Singapura kami biasanya dikejutkan oleh deringan jam, namun di Kampung Pelegong, kami dikejutkan dengan kokokan ayam jantan - sekali gus menandakan satu lagi hari seronok bagi rombongan kami.

Aturcara hari itu bermula dengan berjalan di sekeliling kampung melalui jalan kecil. Kami melawati kebun belimbing, sayur timun, kacang buncis dan sebuah perigi dara yang dikatakan dapat boleh memberi pasangan zuriat jika diminum airnya. Kami juga berpeluang belajar cara menoreh pokok getah.

Selepas puas jalan keliling kampong, kami pulang semula ke rumah keluarga angkat untuk melihat cara membuat baulu.

Selepas makan, kami sempat bermain beberapa sukan kampung seperti boling dengan menggunakan kelapa.

Kami mengakhiri malam kedua dan terakhir di Kampung Pelegong dengan belajar menganyam mengunakan rotan sebelum diraikan dengan persembahan tradisional.

Nota: Penulis seorang pendidik.


 
   
   
 

EKSTRA!

 
 
Wira elit
 
 
Plot bercelaru, mengundang mata beradu
 
 
Siapa juara?
 
 
Belum temui sasaran
 
 
Penonton disogok sejarah Clarke Quay
 
 
Penulis ada 'bahan' tapi pentas 'lelah'
 
 
Luah isi hati menerusi lukisan
 
 
Lagu sekadar hiburan
 
 
Bieber 'raja' YouTube
 
 
Joss Stone jadi Bond Girl
 
 
Kuiz precious