Mudah cetak
E-mel
29 Jul 2010
EKSTRA!
Siapa juara?
Anderson dan SJI tinjau isu 'Gen Y'
di pasaran kerja
Oleh
Haryani Ismail
ADAKAH 'Raja Bahas', St. Joseph's Institution (SJI), akan mengembalikan piala juara bahas Berita Harian ke tangan mereka selepas terkandas di peringkat suku akhir tahun lalu?
Atau mungkinkah Sekolah Menengah Anderson pula akan menampakkan 'taring'nya bagi mengulangi kejayaannya pada 1998?
Soalan-soalan itu bermain di minda apabila kededua sekolah yang menunjukkan prestasi cemerlang bakal bertarung di peringkat akhir bahas Piala Berita Harian 2010 lusa.
Pertandingan yang tahun ini disertai 13 sekolah menengah, termasuk dua madrasah, akan diadakan di auditorium Sekolah Menengah Commonwealth.
Tetamu terhormat acara itu ialah Mayor Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) Central Singapore, Encik Zainudin Nordin.
Para pembahas dan guru Sekolah Menengah Anderson dan SJI memang sama-sama tidak menduga mereka mara ke peringkat akhir kerana saingan yang sengit.
Mauduk yang akan dikupas kelak pula merupakan sesuatu yang dekat di hati mereka sebagai 'Generasi Y'.
SJI adalah pencadang bagi mauduk Generasi Y menyukarkan majikan dengan sikap tidak setia dan kurang fleksibel. Sekolah Menengah Anderson pula adalah pembangkang mauduk itu.
Guru pembimbing Sekolah Menengah Anderson, Cik Asnah Asrap, masih ingat lagi detik manis ketika sekolahnya menjulang gelaran juara.
'Pada masa itu, zaman peguam, Cik Guy Ghazali. Selepas itu, beberapa kali pasukan Anderson sampai ke peringkat separuh akhir tetapi kerap terkandas dan tidak mara ke pusingan akhir.
'Saya kira tahun ini kami bernasib baik sebab penggulung pasukan, Zakrie Abdul Manap, memiliki kemampuan yang cemerlang selaku pembahas berbanding pembahas-pembahas tahun-tahun sudah.
'Beliau merupakan aset pasukan di sebalik kesibukannya yang bakal menduduki peperiksaan prelim dan juga penyertaannya dalam peraduan lain seperti pengajian sosial sewaktu di peringkat saringan.
'Walau bagaimanapun, saya berpesan kepadanya agar menggarap kemahiran berbahasa Melayunya agar mencapai kemantapan dan boleh juga capai gred terbaik untuk bahasa Melayu Lanjutan,' kata Cik Asnah.
Dalam pada itu, beliau juga bersyukur anggota-anggota lain pasukan itu - Nur Amelia Azhar, Yosef Ng, Teh Jin Hui dan Juliana Sharmine Riduan - memiliki sikap positif untuk bersatu hati mencuba yang terbaik walaupun dihujani bermacam tuntutan pelajaran dan kegiatan seperti sambutan Hari Kebangsaan.
'Kehidupan pelajar sekarang bukannya senang. Di Anderson pula, hanya ada segelintir pelajar Melayu. Jadi, mereka diperlukan bagi peraduan ini dan peraduan itu. Usaha mereka sampai ke peringkat akhir saya hargai,' katanya.
Penggulung pasukan SJI, David Ondang, 17 tahun, pula terkejut dengan pemilihan pasukannya ke peringkat akhir.
Tekanan juga dirasakan walau di lubuk hatinya akur bahawa kalah menang dalam peraduan itu sudah menjadi adat.
'Sememangnya, di setiap peringkat kami rasa peluang menang itu adalah 50-50. Di peringkat suku akhir, kami bersaing dengan Sekolah Perempuan Raffles (RGS).
'Dalam hati berkata-kata mereka finalis tahun lalu dan beberapa tahun sudah. Tidak sangka kami mampu menang.
'Kemudian, kami bertemu Sekolah Perempuan Tanjong Katong (TKGS) di peringkat separuh akhir. Tengok mereka berdebat dengan Anderson...Wah ini satu lagi sekolah bukan calang-calang. Apabila kami diumumkan sebagai pemenang, sekali lagi tidak sangka!' jelas David dengan penuh merendah hati.
Harapannya tentulah untuk mengembalikan piala juara itu ke tangan SJI.
Namun, katanya lagi: 'Kalau menang, bagus. Tetapi kalau kalah pun, saya sudah cukup bangga telah sampai ke peringkat akhir dan kini diwawancara Berita Harian.'
Sama-samalah kita nantikan keputusan bahas ini.
Sesi bahas lusa bermula 2 petang.