Mudah cetak
E-mel
29 Jul 2010
EKSTRA!
REVIU: EPILOG 2010
Penulis ada 'bahan' tapi pentas 'lelah'
Oleh
Izad Omar
MEMBERI ruang kepada muka-muka baru untuk berteater memang wajar untuk menggerakkan mana-mana badan teater.
Epilog 2010 yang dipersembahkan Teater Artistik memberi platform kepada muka-muka baru mementaskan skrip yang ditulis ketika bengkel penulisan bersama Zulfadli Rashid.
Naskhah 10 minit yang dipertandingkan dan dianggap pemenang dalam bengkel itu kemudian dipanjangkan kepada satu jam untuk dipentaskan.
Tiga naskhah yang terpilih, Budeg, tulisan Farhanah Diyanah; Chromosome #6, tulisan Ruzaini Rashid; dan Kaskas, tulisan Nor Rizal Ebrahim; mendapat tempat di Teater Artistik untuk dipentaskan dan kakitangan kumpulan teater itu menjadi mentor mereka.
Kesempatan menonton dua daripada tiga persembahan memberi saya anggapan bahawa darah muda yang diketengahkan memang mempunyai 'bahan' untuk menulis. Cuma penerjahannya tidak begitu ketara.
Mungkin penulis-penulis muda ini tidak mampu 'memanjangkan' sebuah naskhah yang asalnya hanya 10 minit kepada lebih lima kali ganda lamanya untuk dipentaskan. Kedua-dua pementasan tampak 'lelah' dan mesej yang ingin disampaikan tidak menjadi.
Ada baiknya jika pihak penganjur dapat memberi ruang penonton membaca skrip asal menerusi ruang siber atau apa-apa sahaja cara. Ini mungkin akan memberi lebih penghormatan kepada penulis akan tulisan asal mereka.
Langkah Teater Artistik mengambil inisiatif membentuk satu lagi lapisan penulis memang harus dipuji. Namun mungkin tugasan yang diberi belum terlaksana sebaik mungkin dan masih ada lagi ruang yang harus diperbaiki, terutama di dalam usaha memastikan skrip tulisan penulis baru mempunyai kekuatan untuk tatapan umum.
Apa lagi apabila intipati padat yang terdapat di dalam 10 minit harus dipanjangkan kepada satu jam. Ini adalah satu tugasan berat bagi penulis itu sendiri, malah ia tidak terlaksana dengan baik di ruang persembahan.
Satu penelitian yang harus saya katakan bahawa Kaskas, walaupun tampak indah dengan koreografi dan nyanyian, amat ketara akan jalan ceritanya dengan salah satu pementasan tempatan. Ini disahkan apabila ada pihak yang setuju akan persamaannya. Saya juga difahamkan bahawa inti skrip berubah daripada skrip asal, lantas kurang 'sengatnya'.
Sebagai penulis baru, tiada salahnya jika kaedah 'adaptasi' digunakan untuk mencantikkan pementasan tetapi ia harus dilakukan dengan bijak dan telus. Dengan menyembunyikan perkara yang sebenar-benarnya berada di hadapan penonton, ia bukan sahaja boleh dikategorikan meniru, malah tidak menghormati karya penulis lain. Ikut resmi padi, kian berisi kian tunduk.
Projek-projek penyemaian bakat baru seperti Epilog 2010 tidak harus dihentikan begitu sahaja. Acara sebegini sepatutnya diadakan sebagai acara tahunan dengan kerjasama pelbagai pihak terbabit seperti Lembaga Perpustakaan Negara dan mana-mana kumpulan teater.
Ini merupakan satu wadah untuk anak muda berjinak-jinak dengan dunia teater dan tampil dengan sesuatu yang segar dan padat.