Mudah cetak
E-mel
29 Jul 2010
EKSTRA!
REVIU: BERPUTAR DI KEGELAPAN MALAM
Belum temui sasaran
Teknik guna pandang dengar 'tutup' kelemahan naskhah cerpen yang diolah
jadi teater
Oleh
Nadiputra
Karya: Arizal Ahmad
Arahan: Atin Amat
Persembahan: Teater Kami, 13 - 17 Julai di Teater Kami Black Box Studio.
DISIPLIN kerja teater Teater Kami memang tidak diragui.
Ia terbukti apabila cerpen Arizal Ahmad Berputar Di Kegelapan Malam (BDGM) diberi nafas lakonan yang memberangsangkan oleh pengarah Atin Amat dan para pelakonnya Adib Kosnan Siran (Aiman), Hisham Helzie (John), Zamir Mustapah (Madi), Rafil Kamaruddin (Mattar), Dalifa Md. Shahril (Ana), Shasha Ya'kob (Ana), Anwar Hadi Ramli (Suara), Azyrul Azhar (Idris Kanak-Kanak) dan Atiq Athirah Md Shafie (Ana untuk zaman kanak-kanak). Anwar Hadi Ramli turut bermain watak John pada pementasan keduanya.
Pengarah Atin Amat menggunakan banyak kesan pandang dengar (AV) yang artistik. Ia bantu meninjau perkembangan cerita dengan lebih luas. Adegan di kedai kopi, tempat kerja John dan Madi akan tambah menarik jika diberi kesan pandang yang serupa. Kesinambungan penggunaan AV lebih padu.
Urutan adegan persis olahan skrip televisyen.
Sejauh ini, memberi wajah teater pada sebuah karya cerpen kebanyakannya belum menemui sasaran yang terhajat penulis, baik oleh sutradara teater mahupun TV untuk cerpen-cerpen yang dianggap bermutu. Penangannya amat rumit. Naskhah cerpen enak dihayati ketika dibaca. Mengangkatnya ke teater rumit.
Kekuatan para pelakon BDGM, pengendalian tekniknya, baik audio mahupun video mematangkan kelemahan naskhah BDGM. Namun ia masih tidak dapat membina ke kemuncak jatuh bangun Aiman dengan tragik.
Pembinaan plot BDGM terlalu banyak diselingkan adegan yang mengendurkan kemuncak cerita. Ini menjejas naluri pemain terhadap interaksi watak dengan watak, yang dialog biasanya tidak begitu dramatik dan tidak kuat untuk membina konflik perwatakan ke kemuncaknya. Ia hampir jadi sandiwara televiysen.
BDGM terangsang kuat memaut pada dukungan kesan pandang dengarnya. Satu kelainan usaha yang artistik terhadap pencerminan hitam-putih kehidupan Aiman yang baru keluar dari penjara.
Laluan 'klise' ke pangkal jalan boleh dipadatkan. Kurangkan adegan. Tumpukan pada olahan perwatakan dan dialog-dialog yang lebih padat, berpusat pada 'konflik dan dilema' Aiman dan John serta Madi. Kesan dan kekuatan dramatik yang menanjak ke kemuncak tragedi Aiman akan wujud. Barulah nilai kehidupan John, 23 tahun, yang bakal memasuki Institut Pendidikan Nasional, Madi, 21 tahun, yang bakal juga memasuki Politeknik Ngee Ann dan Aiman boleh dipersoalkan dengan yakin tentang politik kehidupan masyarakat terhadap 'sampah masyarakat'.
Kejutan perasaan pertemuan Aiman dan Ana (yang secara kebetulan ialah kekasih John) terkapai antara kepiluan, ketegangan dan kocakan naluri sang anak yang terperangkap dalam realiti kejahilan ayahnya.
Meminjam kata-kata Dr Mana Sikana sewaktu mengulas pengadilan Sayembara Teater, 'drama sebabak kini tidak lagi relevan, kerana drama sebabak dalam sayembara ini sendiri, begitu banyak pecahan adegan dengan berbagai-bagai senario dengan sekelip mata dek gelap terang pencahayaan.'
Makanya BDGM terperangkap dalam keghairahan interpretasi pengolahan adegan yang melebihi pendramaannya dan mencari kelainan serta kesegaran berkarya.
Ia juga subjektif kerana jika pemain dan penanganan pengarah sama kental, ia jadi cemerlang. Tetapi jika kesinambungan lakonan dan arahan genjot, ia jadi kendur, dan bertele.