SEBELUM menonton Sailing Past, pementasan oleh Stages (bersama Splash Entertainment dan Singapore River Cruise), saya tidak tahu yang di Clarke Quay pernah ada kilang nanas atau pernah diberi nama North Boat Quay.
Ada banyak lagi yang saya pelajari tentang sejarah daerah Clarke Quay dan Boat Quay sepanjang pementasan. Contohnya, dahulu, daerah itu hanya sebuah kawasan paya tetapi Sir Stamford Raffles membina kampung di situ.
Sempena Pesta Sungai Singapura (Singapore River Festival) Sailing Past memberi nafas segar kepada pementasan teater interaktif dengan memilih untuk membawa penumpang perahu warisan ke tahun '30-an dengan cerita sejarah yang cukup menarik dan tidak biasa kita dengar.
Jonathan Lim, selaku penulis dan pengarah Sailing Past, membuat kajian yang cukup mendalam. Skripnya padat dengan informasi teliti. Hal-hal yang diceritakan oleh si penjaja sate (lakonan Faizal Abdullah) dan si pelacur (lakonan Elizabeth Loh) termasuklah kebodohan orang British dalam menubuhkan Fort Canning sebagai sebuah kubu pertahanan yang tidak boleh digunakan langsung kerana ia bukan sahaja jauh dari laut malah lebih rendah daripada Pearl's Hill. Bukan itu sahaja, ketidakadilan pemimpin British juga disentuh oleh Jonathan.
Satu lagi tarikan Sailing Past ialah, sambil perahu warisan yang lengkap dengan termos antik dan kalendar Jun 1930 melayari sungai, si pelakon mengupas sejarah tugu-tugu dan tempat-tempat yang dilalui. Seperti pusat beli-belah The Central yang dahulunya tempat tinggal kuli-kuli dan sejarah jambatan yang ada.
Lakonan Faizal dan Elizabeth juga bersahaja dan berkesan. Mereka pandai menyesuaikan diri dengan situasi di luar perahu tanpa 'meninggalkan' alam 1930. Teater interaktif ini mempunyai bahan sejarah yang amat baik. Lebih baik jika teater interaktif ini diadakan tiap-tiap minggu di atas perahu warisan untuk para pelancong kita dan juga orang-orang Singapura yang ingin tahu sejarah kita dengan lebih mendalam.