Mudah cetak
E-mel
9 Feb 2010
SINGAPURA
Samsung dipilih bina terminal cecair gas asli bernilai $1.5b
Projek di Pulau Jurong dijadual mula beroperasi 2013
Oleh
Nadzri Eunos
LANGKAH strategik bagi mempelbagaikan sumber tenaga sekali gus memenuhi keperluan masa depan negara semakin menjadi nyata dengan pengumuman pemenang projek membina terminal cecair gas asli (LNG) pertama negara bernilai $1.5 bilion, semalam.
Syarikat Korea Selatan, Samsung C&T, telah dipilih daripada tiga pembida bagi membina terminal di sebidang tanah seluas 30 hektar di barat daya Pulau Jurong.
Terminal itu dijadualkan mula beroperasi menjelang pertengahan 2013. Ia berupaya menyimpan 3.5 juta tan gas setahun dan boleh diluaskan sehingga 6.5 tan setahun.
Pembinaan terminal itu penting bagi melindungi bekalan LNG negara yang digunakan oleh loji-loji penjana elektrik negara.
Pengarah eksekutif Singapore LNG Corporation Pte Ltd (SLNG), Encik Nigel McGregor, menyifatkan pembinaan terminal LNG itu sebuah projek ikonik kerana kepentingannya dalam rangka strategik sumber tenaga Singapura.
'Terminal LNG ini satu pembangunan ikonik bagi Singapura kerana ia memberikan kita akses kepada pasaran gas dunia justeru mengukuhkan bekalan dan memperbaiki prasarana penting yang mendukung ekonomi negara,' katanya.
Antara pembekal utama LNG dunia ialah Australia, Qatar, Russia dan Nigeria.
Buat masa ini bekalan LNG negara disalurkan langsung dari Indonesia menerusi paip dasar laut.
Pembinaan terminal baru itu sejajar dengan usulan Jawatankuasa Strategi Ekonomi (ESC) yang menggesa pemerintah meneroka bekalan sumber tenaga baru bagi memastikan keutuhan dan pertumbuhan tenaga yang berkekalan bagi Singapura.
Selain LNG, sumber tenaga lain yang diusul ESC ialah mengkaji kemungkinan menggunakan tenaga nuklear, mengimport elektrik dari negara jiran dan menggunakan arang batu yang lebih murah.
Encik McGregor menekankan, selain memenuhi permintaan LNG tempatan, terminal tersebut juga membolehkan Singapura mendagangkan sumber tenaga itu di pasaran dunia.
'Harapan saya ialah terminal baru ini akan menjadi pemangkin untuk Singapura menjadi sebuah hab utama LNG pada masa depan,' tambahnya.
Pemeteraian kontrak membina terminal LNG itu semalam merupakan satu kemajuan kerana projek itu sepatutnya dimajukan secara komersial oleh PowerGas. Namun, ia terbantut akibat kegawatan ekonomi sejagat tahun lalu.
Pada Jun lalu, pemerintah kemudian mengumumkan akan mengambil alih projek itu. Penguasa Pasaran Tenaga (EMA) telah menubuhkan sebuah SNLG untuk membina dan mengendalikan terminal tersebut.
Ketua Eksekutif EMA, Encik Lawrence Wong, menjelaskan dana bagi projek tersebut adalah dalam bentuk pinjaman dan EMA memegang saham syarikat itu bagi pihak pemerintah.
Beliau berkata proses pembayaran semula pinjaman tersebut sedang dibincangkan dan dijadualkan bermula sejurus terminal itu menjana keuntungan.
Encik McGregor berkata nilai sebenar tender Samsung C&T kurang $1 bilion dengan bajet selebihnya diperuntukkan bagi pembinaan jeti dan prasarana tambahan.
Katanya, Samsung dipilih kerana reka bentuk bangunan terminal yang berlainan dan berkesan juga menggunakan bidang tanah yang kecil.
Satu lagi kontrak bagi konsultan pengurusan projek juga telah dimeterai dalam majlis yang sama, semalam. Ia dimenangi oleh syarikat Foster Wheeler Asia Pacific Pte Ltd.