Mudah cetak
E-mel
9 Feb 2010
SINGAPURA
Peraduan bagi cungkil bakat hafiz Al-Quran
Oleh
Nadzri Eunos
USAHA melahirkan barisan hafiz Quran yang mampu mengibarkan bendera negara di persada dunia bakal lebih sistematik dan telus dengan penganjuran peraduan tahfiz Al-Quran peringkat kebangsaan yang sulung, tahun ini.
Acara itu akan berlangsung serentak dengan peraduan tilawah Al-Quran ke-42 tahun ini.
Dua peraduan itu dianjurkan oleh Majlis Tilawah dan Tahfiz Kebangsaan (MTTQ) dengan sokongan lima masjid - An-Nur, En-Naeem, Assyafaah, An-Nahdhah dan Mujahidin.
MTTQ berada di bawah naungan Jawatankuasa Induk Al-Quran (QSC) Majlis Ugama Islam Singapura (Muis).
Pengerusi QSC, Ustaz Firdaus Yahya, berkata peraduan tahfiz diperkenal buat julung-julung kalinya untuk mencungkil bakat-bakat baru dalam bidang penghafalan Al-Quran.
Di samping itu ia diharap dapat membudayakan rasa cinta terhadap Al-Quran di kalangan masyarakat Islam tempatan, khususnya dalam bidang menghafal Al-Quran.
'Budaya tahfiz kini semakin berkembang. Daripada taksiran saya, terdapat sekitar 500 pelajar yang mengikuti kelas-kelas tahfiz, baik di sekolah-sekolah agama mahupun di masjid-masjid.
'Oleh itu saya percaya terdapat banyak bakat yang belum dicungkil. Peraduan tahfiz peringkat kebangsaan adalah wadah sesuai melakukannya.
'Mereka yang berbakat akan dilatih mewakili negara dalam peraduan tahfiz di peringkat antarabangsa,' kata Ustaz Firdaus.
Sebelum ini proses pemilihan wakil tahfiz negara diadakan menerusi proses temu duga dan ujian secara tertutup.
Setiausaha QSC, Ustaz Muhammad Fazalee Jaafar, berkata:
'Selalunya calon-calon merupakan pelajar tempatan yang belajar di luar negara. Kami jemput mereka untuk temu duga tertutup. Jika hafalan mereka mantap, kami akan hantar mereka sebagai wakil negara.'
Ustaz Firdaus menambah bahawa sistem pemilihan baru ini akan lebih telus.
Untuk memastikan ketelusan, sidang pengadil bagi peraduan tahfiz akan terdiri daripada mereka yang tiada kepentingan atau terlibat dengan institusi-institusi yang menganjurkan kelas-kelas tahfiz.
Peraduan tahfiz terbuka kepada peserta lelaki dan perempuan. Ia terbahagi kepada dua peringkat - saringan dan akhir.
Setiap bahagian mempunyai empat kategori iaitu kategori A bagi juzuk ke-30; B (juzuk 1-5); C (juzuk 1-10); D (1-15).
Ustaz Firdaus menjangka jumlah peserta terbanyak dalam kategori B memandangkan kurang 20 individu yang diketahuinya menghafal 30 juzuk.
Mereka yang berminat menyertai peraduan tilawah dan tahfiz boleh mendaftar di salah satu masjid yang tertera di atas atau di Masjid An-Nur.
Untuk keterangan lanjut, sila hubungi 6363-1383 atau e-mel wanamiju@annur.mosque.org.sg atau lungsuri www.muis.gov.sg.