Mudah cetak
E-mel
9 Feb 2010
SINGAPURA
PELANCARAN GEN G DAN I3
Masagos puji usaha 'Berita Harian'
Langkah terbit dua akhbar bagi pelajar bantu capai keseimbangan dalam penggunaan bahasa Melayu, Inggeris
Oleh
Nurul Dayana Simangoon
AKHBAR pelajar Gen G dan i3 (I cube) terbitan Berita Harian merupakan satu usaha proaktif akhbar ini untuk mendekati golongan muda Melayu serta menarik minat mereka kepada bahasa ibunda.
Usaha Berita Harian itu penting kerana walaupun pencapaian pelajar Melayu dalam mata pelajaran Bahasa Melayu kekal tinggi, semakin ramai keluarga Melayu menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa utama di rumah.
Langkah Berita Harian untuk menyumbang ke arah mencapai keseimbangan dalam penggunaan dua bahasa itu dan melestari warisan bangsa wajar dipuji, kata Setiausaha Parlimen Kanan (Pendidikan merangkap Ehwal Dalam Negeri), Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.
Beliau berkata demikian semasa berucap di majlis pelancaran Gen G dan i3 semalam.
Menurut Encik Masagos, satu tinjauan menunjukkan peratusan murid Melayu darjah satu yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa utama di rumah melonjak lebih 34 peratus tahun lalu berbanding 1982.
Menyifatkan pelancaran akhbar itu sebagai satu titik bersejarah, beliau menekankan peri perlu terus menarik perhatian golongan muda yang terdedah kepada Internet dan media baru.
'Dalam sekitaran penggunaan bahasa Inggeris yang semakin meluas, kita perlu memastikan anak-anak kita selesa menggunakan bahasa Melayu, yang menjadi kunci kepada jati diri kita. Akhbar utama Berita Harian yang disasarkan kepada pembaca umum mungkin kurang berupaya menarik perhatian pembaca muda.
'(Namun) kandungan Gen G dan i3 cuba mengetengahkan sesuatu yang rancak, dinamik dan bertenaga. Guru juga harus arif mengaitkannya dengan keperluan sukatan pelajaran Bahasa Melayu,' kata Encik Masagos.
Editor Berita Harian/Berita Minggu, Encik Guntor Sadali, pula berkata penerbitan Gen G dan i3 diharap dapat menyubur dan mengembangkan bahasa Melayu di sini.
'Dengan mendekati pengguna bahasa Melayu di peringkat rendah dan menengah, kami berharap dapat menyemai minat terhadap bahasa ini ketika mereka di tahap awal pembelajaran,' ujar beliau.
Sementara itu, pelajar yang ditinjau mendapati Gen G dan i3 bukan saja bijak mengetengahkan isu-isu masa kini yang dihadapi mereka, bahkan bahan bacaan menarik untuk mempertingkat penguasaan bahasa Melayu.
'Biasanya saya menjauhi bahan bacaan Melayu kerana mendapati ia membosankan. Namun saya tertambat hati pada i3, terutama ruangan 'isu I' yang menyentuh isu remaja, seperti yang saya hadapi.
'Ruangan cerpen juga membantu dalam penulisan karangan. Malah, adik saya juga meminati ruang 'trivia dunia' di Gen G, yang amat membuka minda. Tetapi mungkin lebih banyak artikel harus disertakan kerana saya mendapati akhbar ini agak tipis,' ujar seorang pelajar Sekolah Menengah Perempuan Methodist Paya Lebar, Nadiah Rusydina Roslan, 16 tahun.