MUKA DEPAN
SINGAPURA
DUNIA
SUKAN
EKSTRA!
KOMENTAR
FORUM
EKONIAGA

  
Mudah cetak
E-mel

18 Mac 2010

SINGAPURA

DITUDUH BUNUH ANAK SENDIRI BERUSIA 23 BULAN
Lelaki terlepas daripada tali gantung tapi bersalah sebabkan kematian

Oleh
Linilidia Abdul Hamid

LELAKI yang dituduh membunuh anaknya, yang berusia 23 bulan, terlepas daripada tali gantung setelah hakim mendapati beliau tidak bersalah atas tuduhan membunuh.

Sebaliknya, Hakim Mahkamah Tinggi, Encik Lee Seiu Kin, mendapati pekerja pembersihan itu, Sallehan Allaudin, bersalah melakukan homisid.

Semasa memberikan keputusannya semalam, Hakim Lee berpendapat tertuduh, 27 tahun, tidak mempunyai niat membunuh anak perempuannya itu - isu utama dalam menentukan sama ada seseorang itu bersalah atas tuduhan membunuh.

Sallehan mempunyai tiga orang anak dan mangsa merupakan anak sulungnya.

Dalam keputusan bertulisnya, Hakim Lee menyatakan beliau mendapati tindakan tertuduh memukul mangsa telah menyebabkan urat besar, yang membawa darah tanpa oksigen daripada bahagian bawah badan ke rongga kanan jantung, putus dan lantas menyebabkan kematian mangsa.

Kejadian itu berlaku pada 6 Januari tahun lalu di flat sewa Sallehan di Blok 191 Boon Lay Drive.

Tertuduh sendiri mengaku telah menyepak dan menumbuk mangsa pada malam kejadian dan dia menyepak mangsa kira-kira empat kali dan menumbuknya dengan cara serupa, tambah Hakim Lee.

Namun begitu, Hakim Lee menyatakan bahawa tiada bukti menunjukkan yang tertuduh berniat menyebabkan kematian arwah ketika dia memukulnya.

'Sememangnya, sebagai ayah yang menyayangi arwah, dia tidak mungkin mempunyai niat sedemikian.

'Tetapi, dia telah menyebabkan pelbagai kecederaan di badan mangsa dan ini jelas menunjukkan bahawa memandangkan banyaknya jumlah kecederaan dan keseriusannya, berkemungkinan besar menjadi punca kematian kanak-kanak itu,' ujar Hakim Lee.

Menurut beliau lagi, semasa tertuduh memukul mangsa, dia tahu atau sekurang-kurangnya dapat mengagak yang tindakannya boleh menyebabkan kematian.

Justeru, tertuduh didapati telah melakukan kesalahan homisid, di bawah seksyen 299, Kanun Keseksaan.

Menurut Seksyen 299 Kanun Keseksaan, sesiapa yang menyebabkan kematian dengan berbuat sesuatu dengan niat menyebabkan kematian; atau dengan niat menyebabkan kecederaan, yang boleh membawa kematian; atau dengan pengetahuan tindakannya boleh menyebabkan kematian, telah melakukan kesalahan homisid.

Namun, menurut Hakim Lee, memandangkan tindakannya dilakukan tanpa niat membunuh, kesalahan tertuduh tertakluk di bawah hukuman mengikut seksyen 304(b) kanun itu.

Mengikut seksyen 304 (b) Kanun Keseksaan, seseorang yang didapati bersalah atas tuduhan kesalahan homisid boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun, denda atau hukuman sebat.

Dia juga boleh dikenakan mana-mana gabungan hukuman tersebut jika perbuatan itu dilakukan dengan pengetahuan yang ia mungkin akan menyebabkan kematian, tetapi tanpa niat menyebabkan kematian; atau menyebabkan kecederaan yang boleh menyebabkan kematian.

Hakim Lee akan menjatuhkan hukuman setelah mendengar hujah daripada kedua-dua pihak pendakwa dan pembela kelak.

Kedua-dua pihak dijangka menyampaikan hujah masing-masing minggu hadapan.




 
   
   
 

SINGAPURA

 
 
Ahli korporat Jauhari tahun ini
 
 
Pekerja PMET Melayu bertambah empat kali ganda sepanjang 45 tahun
 
 
HDB siasat kes sewa flat tanpa izin
 
 
PM gesa ketua niaga terajui usaha pertingkat daya penghasilan
 
 
AMP kumpul $107,000 dari golf amal
 
 
Kongsi kemewahan dengan orang lain
 
 
Kejayaan Melayu/Islam di Singapura hasil usaha sendiri
 
 
Teliti tujuan di sebalik kejayaan
 
 
Falsafah dan budaya kerja