Mudah cetak
E-mel
29 Jul 2010
SINGAPURA
PM gesa ketua niaga terajui usaha pertingkat daya penghasilan
Oleh
Adli Yashir Kuchit
PERDANA Menteri, Encik Lee Hsien Loong, menggesa para ketua eksekutif dan pemimpin perniagaan supaya menerajui usaha peningkatan daya penghasilan sambil mengatakan mereka 'memikul tanggungjawab yang besar' dalam usaha tersebut.
 Mereka juga perlu melaksanakan langkah serta berfikiran fleksibel agar dapat menyesuaikan diri dalam sekitaran dan ekonomi yang pesat berubah.
 Encik Lee berkata ini boleh dilakukan dengan menggalak latihan dan inovasi serta melicinkan operasi sambil mencari pasaran baru di sini dan luar negara.
Ini, jelasnya, boleh membantu meraih hasil yang baik, membantu syarikat bersaing dan melaksanakan tanggungjawab kepada para pekerja dan masyarakat.
 'Kepimpinan anda amat penting dalam usaha meningkatkan daya penghasilan syarikat anda,' ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di sidang anjuran Persekutuan Majikan Nasional Singapura (SNEF) di Resorts World Sentosa, sempena ulang tahun ke-30 pertubuhan itu. Ia dihadiri sekitar 900 peserta terdiri daripada ketua eksekutif dan pengurus kanan syarikat-syarikat.
 Encik Lee berkata pemerintah, kesatuan sekerja dan majikan telah berganding bahu mengharungi masa sukar ketika kemelesetan ekonomi melanda.
Sedang ini perlu diteruskan, beliau menggesa para pemimpin perniagaan memberi tumpuan kepada cabaran meningkatkan daya penghasilan dengan 'memaksimumkan hasil daripada sumber terhad, mengurangkan penggunaan sumber atau menggunakan sumber yang sama dalam cara yang berbeza untuk meraih hasil yang lebih tinggi'.
'Peniaga Singapura tidak boleh berharap mengurangkan kos menggunakan tenaga kerja yang murah.
'Sebaliknya firma-firma perlu menggunakan sumber dengan lebih berkesan, membangunkan pasaran baru dan berinovasi,' kata Encik Lee.
 Mekanisme gaji fleksibel dapat membantu firma mengawal kos dan menyelamatkan pekerjaan.
'Mereka perlu menyesuaikan diri mengikut sekitaran yang berubah,' kata Encik Lee.
 'Firma-firma perlu menyokong latihan pekerja dan memberi pengiktirafan kepada pekerja yang berusaha mempelajari kemahiran baru,' ujarnya.
Bagi menggalak usaha peningkatan daya penghasilan, SNEF telah melancarkan inisiatif Kepimpinan dan Kepercayaan Daya Penghasilan yang ditujukan kepada para pemimpin perniagaan.
 Di bawah inisiatif itu, SNEF akan bergabung dengan Universiti Pengurusan Singapura (SMU) menganjurkan seminar kepimpinan bagi para ketua eksekutif.