MUKA DEPAN
SINGAPURA
DUNIA
SUKAN
EKSTRA!
KOMENTAR
FORUM
EKONIAGA

  
Mudah cetak
E-mel

29 Jul 2010

SINGAPURA

Kongsi kemewahan dengan orang lain

Sikap ikhlas dan rendah diri kunci kejayaan Shafie jadi tokoh korporat unggul

Oleh
Nazri Hadi Saparin

DI TENGAH-TENGAH ruang gergasi gedung Carrefour di Lebak Bulus Raya, Jakarta Selatan, kehadiran seorang individu seolah-olah 'menguasai' sekitaran megah itu.

Dengan ketinggian 1.68 meter, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Carrefour Indonesia, Encik Shafie Shamsuddin, mungkin tenggelam dikelilingi lautan manusia.

Namun, ada semacam aura yang menjadikan dirinya lebih 'besar' daripada yang sebenar.

Di Carrefour cawangan Lebak Bulus Raya, yang turut menempatkan ibu pejabat syarikat itu, Encik Shafie, 39 tahun, sedang membawa penulis meninjau lantai beli-belah di salah sebuah gedung pasar raya terbesar di Indonesia.

Tiba-tiba beliau berhenti, mengambil beberapa langkah undur ke belakang lalu membongkok dan mengutip sampah.

Beliau menoleh ke kiri dan ke kanan, mencari tempat membuang sampah yang masih dalam genggamannya.

Setelah gagal menemui tong sampah yang dicari, tanpa berfikir panjang beliau memasukkan sampah itu ke dalam koceknya.

Itulah Encik Shafie. Seorang anak Melayu yang membuktikan, dalam menyuluh ke langit, tidak mustahil untuk kita memeluk akar di bumi.

Dalam tempoh hanya 14 tahun selepas menyertai syarikat Perancis, Carrefour, beliau mengatasi pelbagai rintangan untuk mendaki tangga korporat sebuah firma yang berpegang utuh kepada tradisi negara asalnya.

Daripada pelatih pengurusan, Encik Shafie kini menyandang jawatan CEO, yang bertanggungjawab bagi salah satu daripada tiga pasaran terbesar Carrefour.

Bagaimanapun, pencapaian profesional Encik Shafie itu hanya menjadikannya tokoh korporat yang unggul.

Ia bukan kayu ukur sebenar kejayaan bagi beliau. Ternyata, definisi kejayaan baginya adalah berbeza daripada tanggapan sebahagian besar kita.

PENCAPAIAN PROFESIONAL

Sebagai pelatih pengurusan, Encik Shafie perlu mengangkat dan mengatur barang, termasuk membersihkan lantai di pasar raya Suntec City.

'Orang lihat tugas tak glamor tu kurang 'sesuai' dengan lulusan universiti. Ramai teman hairan kenapa saya berkerja di supermarket? Saya hanya tersenyum.

'Hakikatnya, saya gembira dengan kerja seperti itu kerana banyak yang dapat saya pelajari,' tegas lulusan Pentadbiran Perniagaan Universiti Teknologi Nanyang (NTU) itu.

Di Carrefour, prestasi Encik Shafie mengagumkan dalam setiap tanggungjawab yang dipikulnya.

Pada Mei 2002, beliau menjadi ekspatriat bukan berbangsa Perancis pertama syarikat itu selepas dipindahkan ke Indonesia sebagai pengurus pembarangan.

Kurang setahun kemudian, pada Mac 2003, beliau dinaikkan pangkat kepada Pengarah Operasi Carrefour Singapura.

Namun, selepas itu beliau mengalami kekecewaan.

CEO Carrefour Singapura ketika itu memberitahu beliau bahawa syarikat tersebut hanya memberi jawatan penting kepada warganya sahaja.

'Beliau kata saya bukan warga Perancis, saya tidak bercakap bahasa Perancis, saya tidak minum wain, sebab itu saya tidak akan jadi CEO.

'Saya berazam untuk membuktikan bahawa itu semua tidak penting jika saya mempunyai kebolehan,' tegasnya.

Dua tahun kemudian, Encik Shafie bukan sahaja menjadi CEO bukan berbangsa Perancis pertama Carrefour, malah CEO termuda syarikat itu apabila dilantik mengetuai operasi di Singapura.

Pada Januari 2006, tanggungjawab beliau diluaskan dengan pelantikannya sebagai CEO Carrefour Singapura dan Malaysia, memimpin hampir 9,000 kakitangan di 10 buah pasar raya.

DIKERAH KE INDONESIA

Dengan 81 buah pasar raya dan perniagaan mencecah hampir $2 bilion setahun, Indonesia bersama China dan Brazil adalah tiga pasaran utama Carrefour.

Lantas, syarikat itu hanya melantik yang terbaik untuk memimpin operasinya di tiga negara tersebut.

Bagaimanapun, Encik Shafie bukan hanya dilantik memimpin operasi perniagaan di Indonesia, malah beliau 'dikerah' menyelesaikan beberapa masalah besar.

Antaranya ialah mengatasi dakwaan badan pemantau persaingan Indonesia, Komisi Pengawas Persaingan Usaha (KPPU), yang mendakwa Carrefour melanggar undang-undang antimonopoli.

Masalah itu sama seperti masalah yang dihadapi syarikat pelaburan pemerintah Singapura, Temasek Holdings, pada 2008.

Sedang Temasek gagal menggugurkan dakwaan itu dan terpaksa menjual saham dalam firma Telkomsel dan PT Indosat, Encik Shafie pula berjaya mengelak nasib serupa daripada menimpa Carrefour.

Beliau juga berjaya mendapatkan sokongan masyarakat bisnes di Indonesia, khususnya tokoh niaga berpengaruh yang merupakan orang keenam terkaya di Indonesia, Encik Chairul Tanjung.

Encik Chairul, yang kini memegang jawatan pengerusi syarikat itu, menerangkan bahawa sebelum ketibaan Encik Shafie, Carrefour merupakan syarikat bermasalah.

'Beliau bukan hanya mampu mengatasi masalah itu, malah mengembangkan syarikat dan menggerakkannya ke hadapan,' ujar beliau.

Menurut Encik Chairul, kunci kejayaan Encik Shafie ialah keikhlasan dan sikapnya yang merendah hati.

Beliau menjelaskan bahawa budaya niaga di Indonesia agak unik dan seseorang itu harus memahaminya dengan betul.

Encik Shafie berkata beliau menghabiskan beberapa bulan pertama di Indonesia bertemu tokoh-tokoh niaga penting negara itu untuk memperkenalkan diri dan merintis jalan bagi peluang bekerjasama.

'Di Indonesia, kita harus beri penghormatan kepada tokoh-tokoh ini, sesuatu yang sukar diterima CEO warga Perancis sebelum ini.

'Keadaannya sama di mana-mana. Jika anda melakukan bisnes di negara orang, anda harus menghormati budaya mereka. Ia tidak hanya unik kepada Indonesia,' jelas beliau.

BERSUSAH-SUSAH DAHULU

Sejak di sekolah menengah, Encik Shafie tidak pernah bergantung pada ibu bapanya.

Bapanya, Encik Shamsuddin Parmo, seorang kerani di kedutaan Perancis, adalah satu-satunya pencari nafkah keluarga. Lantas kehidupan keluarganya agak tersepit.

Encik Shafie mengambil upah mencuci pinggan di gerai kantin sekolah. Selain wang saku, beliau juga diberi makanan.

Macam-macam kerja lain yang pernah beliau lakukan termasuk menjadi pelayan, pekerja penghantaran dan pembersihan.

Malah, semasa di tahun akhir di NTU, beliau menyewa gerai menjual hidangan Barat di Jurong East yang dinamakan SF Western Cuisine.

Merenung kembali, Encik Shafie akur kehidupan beliau semasa bersekolah ketika itu begitu mencabar.

'Tapi saya bersyukur kerana ia telah membentuk keperibadian saya sekarang dan membuat saya menghargai kepayahan hidup,' katanya.

LEBIH BAIK MEMBERI DARIPADA MENERIMA

Lantaran itulah, beliau berpegang kepada prinsip lebih baik memberi daripada menerima.

Sejak gajinya hanya $1,800 sebulan hinggalah mencecah lebih $1 juta setahun kini, Encik Shafie tidak lokek memberi.

Isterinya, Cik Zuraida Ahmad, 44 tahun, menceritakan:

'Suami saya kalau nak beli pakaian memang susah. Stokin dah koyak, kasut dah buruk pun beliau tak mahu beli. Beliau cakap takpe, boleh pakai.

'Tapi kalau ada orang minta bantuan, minta derma, beliau terus kasi,' kata beliau, separuh tersenyum separuh mengeluh.

Mujur, Cik Zuraida juga berkongsi prinsip suaminya.

Hingga ke hari ini, pasangan itu, yang mempunyai tiga anak - dua daripada perkahwinan mereka dan satu lagi daripada perkahwinan pertama Cik Zuraida - mengetepikan 50 peratus pendapatan setiap bulan untuk diberikan kepada orang.

Selebihnya dibahagi dua, separuh untuk ibu bapa dan separuh untuk keperluan mereka sekeluarga.

'Kesenangan kita tidak bermakna kalau tidak dikongsi. Kejayaan kita pun berkat doa orang ramai,' kata Cik Zuraida.

Sambil air matanya membasahi pipi, ibu Encik Shafie, Cik Salimah Siraj, berkata anaknya itu banyak berjasa.

'Bukan dengan orang tua saja, saudara dan kawan-kawan pun beliau tolong bulanbulan,' kata Cik Salimah ketika ditemui di rumahnya, sebuah rumah teres empat tingkat di kawasan Pantai Sembawang yang dihadiahkan Encik Shafie.

Menggambarkan sifat adiknya, abang Encik Shafie, Encik Shahrin, pula berkata: 'Bagi Shafie, biar beliau susah tapi orang lain senang.'

Encik Shafie menjelaskan bahawa beliau beruntung kerana mempunyai isteri yang berkongsi prinsipnya.

Malah, isterinya menerapkan prinsip itu kepada dua anak mereka, Sofiuddin, 11 tahun dan Diyanah Huda, tujuh tahun.

Anak sulung pasangan itu, Encik Mohd Faisal Saini, 22 tahun, kini mengendalikan perniagaannya sendiri di Kuala Lumpur.

'Apabila saya baru kahwin, hidup kami susah. Saya ada banyak bil yang perlu dibayar, tapi semua bukan bil saya, tapi bil orang lain.

'Alhamdulillah, saya berkahwin dengan wanita yang sanggup berkorban demi kebahagiaan orang lain. Beliaulah tunggak kekuatan saya. Saya amat bertuah,' kata beliau.

Menjelaskan prinsipnya, Encik Shafie berkata bagi beliau sebaik-baik manusia adalah mereka yang memberi manfaat kepada orang lain.

'Kejayaan bukanlah dalam bentuk kebendaan, wang atau harta. Tetapi apa yang saya lakukan dengan kejayaan itu. Kejayaan saya bukan hanya milik saya,' ujar beliau.


'Pak Shafie seorang pemimpin yang baik. Beliau mudah berkomunikasi dengan semua orang, sama ada pekerja, rakan bisnes, siapa saja. Satu lagi ialah antara hati dengan ucapannya tidak ada perbezaan. Beliau ikhlas dan jujur. Itu yang menjadikan beliau seorang model contoh.'

- Encik Chairul Tanjung, pengerusi Carrefour Indonesia.

'Shafie ialah seorang ketua yang luar biasa. Beliau bukan sahaja mampu mendorong kami agar melakukan yang terbaik, malah mampu juga menjadi inspirasi kepada kami. Beliau juga seorang yang berwawasan. Seorang tokoh korporat yang unggul, bos yang merendah hati dan teman sejati. Saya rasa bertuah dipimpin beliau.'

- Encik Jean-Paul Denoix, Pengarah Operasi, Carrefour Indonesia.

'Pak Shafie luar biasa orangnya. Tidak pernah saya bekerja dengan majikan seperti beliau. Walau beliau berpangkat tinggi, beliau sungguh merendah hati. Beliau dan isteri juga begitu murah hati. Semasa ulang tahun perkahwinan mereka, mereka hadiahkan saya dan isteri sebuah rumah. Harganya kira-kira 400 juta rupiah ($60,000). Saya terkejut, tidak mahu terima, tapi Pak Shafie enggan saya pulangkan.'

- Encik Taufik, pemandu peribadi Encik Shafie Shamsuddin.

'Beliau seorang insan yang istimewa. Selalu bersedia membantu. Siapa sahaja beliau akan bantu, tidak kiralah sama ada orang beliau kenal atau tidak begitu kenal. Beliau mesti bantu.'

- Encik Alan Goh, bekas rakan bisnes dan kini sahabat karib Encik Shafie.

'Shafie jujur dan ikhlas dalam apa saja yang beliau lakukan. Sejak saya kenali beliau zaman remaja dulu hingga sekarang, beliau masih sama orangnya. Tidak berubah. Sejak dulu juga beliau suka membantu orang sehinggakan kadang- kala beliau sengsara. Tapi bagi Shafie tidak apa, beliau bahagia melihat orang lain bahagia.'

- Encik Abahtiar Mohd Halimi, sahabat karib Encik Shafie selama lebih dua dekad.


 
   
   
 

SINGAPURA

 
 
SAF rombak sistem latihan jasmani anggota kombat
 
 
Program bantu pemulihan banduan kaum minoriti dilancar
 
 
Tiga badan agama derma $140,500 untuk Pakistan
 
 
Ditahan angkara larva semut dan burung
 
 
Air laut di pantai Pasir Ris belum selamat
 
 
Wanita bebas tuduhan sumbang mahram
 
 
Ghairah jadi pendamping banduan
 
 
Pemimpin akar umbi derma bubur untuk majlis iftar di sekolah
 
 
Kesesakan dijangka di Koswe dan Laluan Kedua
 
 
600 famili susah terima habuan dari Muhammadiyah
 
 
Kehadiran hampir 400 jemaah bantu penuhi impian makmurkan lagi An-Nahdhah
 
 
Fisabilillah & Ibnussabil