Mudah cetak
E-mel
29 Jul 2010
SINGAPURA
Pekerja PMET Melayu bertambah empat kali ganda sepanjang 45 tahun
Oleh
Shamsul Jangarodin
KADAR pekerja Melayu dalam bidang profesional, pengurus, eksekutif dan teknisyen (PMET) telah meningkat empat kali ganda sepanjang 45 tahun lalu.
Daripada sekadar 7.2 peratus yang dicatatkan pada 1980, pekerja Melayu kini membentuk 28.4 peratus daripada golongan PMET setempat pada 2008.
Mendedahkan perangkaan tersebut, Menteri Tenaga Manusia, Encik Gan Kim Yong, berkata bahawa peningkatan itu jelas menunjukkan perubahan positif pada profil pekerja Melayu.
Sementara itu, Encik Gan juga memberi peringatan, sedang iklim ekonomi Singapura mencatatkan pertumbuhan yang amat memberangsangkan, dasar keterbukaan ekonomi negara ini masih mendedahkannya kepada ketidaktentuan ekonomi global.
Berucap di majlis Anugerah Jauhari ke-11 di Hotel Shangri-La malam tadi, Encik Gan berkata bahawa masyarakat Melayu telah, secara keseluruhannya, mencatatkan pencapaian baik dalam banyak bidang, secara akademik dan profesional.
Beliau berkata kini terdapat lebih ramai individu Melayu dalam bidang-bidang seperti perubatan, kejuruteraan, khidmat guaman, teknologi maklumat (IT) dan banyak lagi.
Malah, Encik Gan menambah pencapaian tersebut lebih bermakna kerana ia hasil usaha masyarakat Melayu sendiri dan berdasarkan merit.
'Masyarakat Melayu, bersama-sama pemimpin politik dan masyarakat mereka, telah saling bekerjasama dengan pemerintah untuk mencatatkan peningkatan dalam semua bidang,' kata Encik Gan.
Beliau, yang hadir selaku tetamu terhormat, turut menyuarakan rasa senangnya kerana setelah 12 tahun Anugerah Jauhari diadakan, masyarakat Melayu setempat tidak ketandusan individu cemerlang.
'Ini tanda jelas akan peningkatan yang dicatatkan masyarakat Melayu,' kata Encik Gan.
Beliau menggesa individu-individu tersebut agar menyumbang kepada masyarakat dan menjadi pembimbing kepada golongan muda di kalangan masyarakat Melayu Singapura.
Anugerah Jauhari tahun ini telah diberikan kepada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Carrefour (Indonesia), Encik Shafie Shamsuddin.
Dalam ucapannya itu juga, Encik Gan menekankan perlunya masyarakat Singapura mengambil sikap berjaga-jaga meskipun ramalan kadar pertumbuhan ekonomi negara tahun ini dinaikkan daripada 7 hingga 9 peratus kepada 13 hingga 15 peratus dua minggu lalu.
Sikap berhati-hati ini perlu, katanya, kerana Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) baru-baru ini menyatakan tentang kemungkinan berlakunya beberapa kejutan ekonomi.
'Justeru, kita perlu memberi tumpuan kepada usaha memacukan daya penghasilan di semua peringkat bagi mengubah Singapura menjadi sebuah ekonomi berteraskan daya penghasilan, agar kita dapat menikmati pertumbuhan berkekalan dan menyeluruh,' kata Encik Gan.
Menurut beliau, penekanan masyarakat Melayu terhadap pendidikan kini membuahkan hasil dan beliau menggesa agar usaha tersebut tidak dihentikan.
'Pemerintah kekal komited bagi membolehkan masyarakat Melayu terus mencatatkan peningkatan meskipun kita berdepan dengan keadaan yang semakin bersaing.
'Kita semua terdorong dengan peningkatan dan pencapaian masyarakat Melayu/Islam. Saya pasti kehadiran individu contoh ini dalam masyarakat dapat membantu golongan muda untuk terus melangkah jauh dalam haluan mereka mencapai kejayaan,' kata Encik Gan.