DAMPINGI PEKERJA: Arahan disampaikan dengan jelas dan mudah difahami, dan kerja dapat dilaksanakan dengan berkesan.
|
Mudah cetak
E-mel
29 Jul 2010
SINGAPURA
Falsafah dan budaya kerja
Apakah antara cabaran bekerja di bawah syarikat berbilang negara?
Encik Shafie (S): Antara cabaran bekerja dengan sebuah syarikat berbilang negara (MNC) dari Perancis adalah cara meraih kepercayaan mereka.
Pada 2003, saya bertanya kepada ketua pegawai eksekutif (CEO) saya waktu itu, 'Anda satu inspirasi buat saya. Bilakah agaknya saya boleh jadi CEO seperti anda?'
Beliau menjawab: 'Saya akui anda ini amat berkebolehan. Tetapi kami orang Perancis. Kami tidak menaikkan pangkat orang bukan Perancis (untuk menjadikan mereka CEO).'
Saya harus berterima kasih kepadanya kerana telah mencabar saya waktu itu.
Apakah falsafah anda dalam memimpin?
> S: Saya mengambil masa untuk mendampingi orang-orang yang bekerja di 'lantai'. Menerusi cara inilah, strategi yang telah diaturkan (untuk memajukan syarikat) boleh disampaikan dengan jelas dan mudah difahami, dan dapat dilaksanakan dengan berkesan.
Untuk membekalkan para pekerja dengan kemahiran-kemahiran 'hadwe' seperti mengira untung rugi itu mudah sekali. Tetapi untuk melakukannya dengan cara 'hati ke hati', yakni dengan kemahiran 'sofwe', ia memerlukan pelaburan masa yang banyak.
Bagaimanakah anda mengimbangi kerja dan keluarga?
S: Ramai yang menganjurkan keseimbangan tugas dengan kehidupan seharian.
Bagi saya, kerja itu juga sebahagian daripada kehidupan. Ia harus disepadukan dalam kehidupan seharian.
Misalnya, disebabkan tugas, saya harus diterbangkan ke sana sini. Saya terangkan kepada anak-anak mengapa dan apa yang perlu saya lakukan bagi tujuan tugas. Dengan cara itulah saya mengimbangi tugas dan keluarga.
Apa pandangan anda tentang ilmu?
S: Kata orang, ilmu itu kuasa. Tetapi, pada zaman ini, ilmu sahaja tidak mencukupi. Yang penting adalah pelaksanaan atau pengamalan ilmu itu pada masa yang tepat, dengan kerjasama pihak yang sesuai, untuk menambah nilai kepada masyarakat.
Bagaimana memaksimum potensi diri?
S: Di Malaysia, saya telah menggajikan seorang bertangan kudung, Jamil namanya. Walaupun tidak mempunyai dua tangan, beliau berbakat dalam rekaan kreatif, menggunakan kaki.
Ramai yang memuji langkah saya memberinya peluang bekerja.
Tetapi saya memberitahu mereka bahawa sayalah yang harus berterima kasih kepada Jamil kerana menyedarkan saya bahawa selama ini saya kurang menggunakan keupayaan diri saya sendiri.