MUKA DEPAN
SINGAPURA
DUNIA
SUKAN
EKSTRA!
KOMENTAR
FORUM
EKONIAGA

  
Mudah cetak
E-mel

29 Jul 2010

SINGAPURA

Kejayaan Melayu/Islam di Singapura hasil usaha sendiri

PENCAPAIAN masyarakat Melayu/Islam Singapura adalah hasil usaha mereka sendiri - menerusi kerja keras dan kesungguhan - selaras dengan nilai meritokrasi.

Tiada bantuan khas mahupun layanan istimewa daripada pemerintah yang membantu memacu kemajuan Melayu/Islam di sini.

Namun, walau perlu bersaing dalam sekitaran yang begitu sengit, masyarakat Melayu tidak mahu mencapai kemajuan dengan cara lain.

Dalam ucapannya di majlis Anugerah Jauhari di Hotel Shang-ri La semalam, Editor Berita Harian/Berita Minggu, Encik Guntor Sadali, berkata asas pembangunan Melayu Singapura sejak 45 tahun lalu adalah berlandaskan prinsip berdikari.

'Kita tidak mahu disuap atau terlalu bergantung kepada pemerintah. Dalam erti kata lain, masyarakat kita menolak sikap menopang (crutch mentality),' ujar beliau dalam majlis yang dihadiri lebih 300 pemimpin dan tokoh masyarakat daripada pelbagai bidang.

Turut hadir di majlis yang mengiktiraf Jauhari masyarakat Melayu itu ialah Menteri Tenaga Manusia, Encik Gan Kim Yong.

Intipati ucapan Encik Guntor itu ialah sebagai respons kepada teguran mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad, baru-baru ini supaya Melayu di negaranya tidak ditimpa nasib yang sama seperti Melayu Singapura.

Menurut Encik Guntor, komen sedemikian sering dilemparkan kepada masyarakat Melayu di sini, bukan sahaja daripada Dr Mahathir, malah sesetengah pemimpin lain di seberang Tambak.

Tetapi beliau menggesa masyarakat supaya tenang.

'Masyarakat kita kini sudah berubah daripada 45 tahun lalu. Kita telah membangunkan identiti dan falsafah hidup sendiri yang berbeza daripada saudara kita di seberang Tambak.

'Kita mungkin pakai baju yang sama, makan makanan yang sama, bertutur bahasa yang sama dan mengamalkan budaya yang sama. Tapi persamaan kita berhenti di situ,' katanya.

Beliau menegaskan bahawa Melayu Singapura pastinya tidak mahu dilabel sebagai malas dan manja.

Lantaran itulah masyarakat Melayu bekerja keras untuk mengumpulkan sendiri dana bagi membina masjid dan madrasah, dan kini boleh berbangga sebagai pemilik bangunan-bangunan tersebut.

Menerusi usahanya sendiri juga, Melayu Singapura boleh berbangga dengan peranannya membantu anggota-anggota masyarakat yang memerlukan sama ada dari segi kewangan, pendidikan dan latihan pekerjaan.

Menurut Encik Guntor, komen Dr Mahathir itu mungkin merujuk kepada kuasa politik Melayu di sini.

Namun, beliau menekankan bahawa Melayu Singapura tidak menyamakan kuasa dengan menghunus keris. Sebaliknya, Melayu di sini berpendapat ilmu itulah kuasa sejati.

'Anak-anak kita menghadiri sekolah yang sama dengan kanak-kanak lain dengan tujuan menerima pendidikan menyeluruh dan mencapai keputusan yang baik.

'Memang mencabar, seperti kanak-kanak lain, anak-anak kita tidak ada pilihan lain selain bekerja keras. Inilah realiti kehidupan di Singapura yang kita terima. Pastinya tiada jalan mudah untuk mencapai kejayaan,' ujar beliau.

Encik Guntor akur walaupun semakin ramai Melayu yang kini memegang jawatan profesional, tetap ada sogolongan Melayu yang masih ketinggalan.

Walaupun demikian, beliau menegaskan bahawa masyarakat enggan menerima layanan istimewa kerana ia hanya akan merendahkan nilai pencapaian Melayu sehingga terpijak maruahnya.

'Meritokrasi ternyata sistem yang baik dan adil. Ia mendorong kita bekerja keras dan berbangga dengan pencapaian kita.

'Bagi masyarakat Melayu Singapura, kita tidak boleh memandang ke belakang,' ujarnya.


 
   
   
 

SINGAPURA

 
 
SAF rombak sistem latihan jasmani anggota kombat
 
 
Program bantu pemulihan banduan kaum minoriti dilancar
 
 
Tiga badan agama derma $140,500 untuk Pakistan
 
 
Ditahan angkara larva semut dan burung
 
 
Air laut di pantai Pasir Ris belum selamat
 
 
Wanita bebas tuduhan sumbang mahram
 
 
Ghairah jadi pendamping banduan
 
 
Pemimpin akar umbi derma bubur untuk majlis iftar di sekolah
 
 
Kesesakan dijangka di Koswe dan Laluan Kedua
 
 
600 famili susah terima habuan dari Muhammadiyah
 
 
Kehadiran hampir 400 jemaah bantu penuhi impian makmurkan lagi An-Nahdhah
 
 
Fisabilillah & Ibnussabil