Mudah cetak
E-mel
9 Feb 2010
SUKAN
LIGA PRIMERA SEPANYOL
Nunes selamatkan
Real Mallorca
MADRID: Gol tandukan Nunes pada lewat perlawanan membolehkan Real Mallorca menang tipis 1-0 ke atas Villarreal, sekali gus mengekalkan rekod tidak pernah kalah mereka di padang sendiri.
Kemenangan itu juga membolehkan mereka naik ke tangga keempat Liga Primera Sepanyol kelmarin.
Mallorca kini mempunyai 37 mata daripada 21 perlawanan, satu mata di hadapan Sevilla selepas kelab dari Andalusia itu kalah 1-2 di tangan Real Zaragoza dan menamatkan perlawanan dengan sembilan pemain.
Tiga pasukan teratas - Barcelona, Real Madrid dan Valencia - kesemunya bermain pada Sabtu lalu.
Barca mempunyai 55 mata selepas mengalahkan Getafe 2-1 di padang sendiri walau bermain dengan sembilan pemain.
Real menenggelamkan Espanyol 3-0 di Bernabeu untuk kekal di tangga kedua, lima mata di belakang Barca.
Valencia pula tidak menghadapi masalah mengetepikan Real Valladolid 2-0 dan telah mengumpulkan 42 mata.
Pemain pertahanan Mallorca, Nunes, melompat paling tinggi dan berjaya menanduk masuk bola ke dalam gawang lawan daripada satu tendangan bebas pada minit ke-82.
Mallorca kini telah mememangi kesemua 10 perlawanan di padang sendiri di Stadium Ono.
Keputusan itu dilihat sebagai tidak wajar bagi Villarreal dan jurulatih baru mereka, Carlos Garrido, kerana pasukan tersebut lebih banyak mencipta peluang jaringan dalam perlawanan yang hambar itu.
'Saya bangga dengan pasukan saya kerana kelakuan dan tingkah laku mereka dan cara mereka bermain di padang,' kata jurulatih Mallorca, Gregorio Manzano.
'Adalah penting untuk terus bercakap mengenai bola sepak dan bukan mengenai apa yang sedang berlaku di luar padang.'
Sevilla merehatkan dua pemain mereka sebagai persiapan untuk pertemuan separuh akhir kedua Piala Raja Sepanyol, tetapi ketinggalan apabila Matteo Contini membuka jaringan untuk Zaragoza pada minit ke-31.
Frederic Kanoute menyamakan kedudukan untuk Sevilla tidak lama selepas itu tetapi Alvaro Negredo tertanduk bola daripada satu tendangan bebas ke gawangnya sendiri sejurus sebelum rehat.
Penyerang Sepanyol, Negredo, seperti sudah jatuh ditimpa tangga apabila beliau menendang Contini semasa mereka berebut bola. Akibatnya beliau dilayang kad merah pada minit ke-81.
Rakan sepasukannya, Marius Stankevicius, menyusul tidak lama kemudian kerana kesalahan profesional. -- Reuters.