MUKA DEPAN
SINGAPURA
DUNIA
SUKAN
EKSTRA!
KOMENTAR
FORUM
EKONIAGA

  
Mudah cetak
E-mel

9 Feb 2010

SUKAN

LUMBA KERETA
Hafiz sukar dapatkan penaja

Keinginan sertai lumba Le Mans dan Porsche Carrera Cup mungkin terhalang

Oleh
Zainal Jamari

SELEPAS tahun yang agak sepi, pemandu kereta lumba profesional Hafiz Koh merancang untuk menyertai perlumbaan Le Mans dan Porsche Carrera Cup.

Bagaimanapun, satu-satunya penghalang utama kepada cita-cita pemandu berusia 26 tahun itu untuk terus menjadi pelumba profesional ialah mendapatkan tajaan.

'Banyak penaja yang mempunyai tajaan yang tertunggak dari tahun lalu, lantas buat masa ini agak sukar untuk mendapatkan tajaan,' kata Hafiz.

Selain itu, masalah ekonomi yang tidak menentu juga menyebabkan beberapa penaja lebih berhati-hati dalam mengeluarkan wang.

'Tetapi saya yakin akan mendapat sesuatu untuk menampung kos penyertaan saya tahun ini. Buat masa ini saya sedang berunding dengan beberapa penaja,' tambah beliau.

Menurut Hafiz, kos untuk menyertai Le Mans sahaja adalah sekitar dua juta euro ($3.9 juta) sementara untuk Porsche Carrera Cup pula ialah sekitar 300,000 euro.

'Saya menyasarkan Le Mans di Perancis dan di Amerika Syarikat.

'Ada beberapa siri perlumbaan di kedua-dua negara itu, jadi saya mungkin tidak menyertai kesemua perlumbaan.

'Begitu juga dengan Porsche Carrera Cup. Mungkin saya akan menyertai dua tiga perlumbaan sahaja tahun ini. Semuanya banyak bergantung pada tajaan yang saya terima,' kata beliau.

Untuk terus mengekalkan tahap kecergasannya, Hafiz sering ke Zhuhai dan Shanghai di China dan ke Sepang, Selangor, untuk latihan di litar.

Tetapi untuk latihan fizikal, beliau memilih mengadakan latihan di gimnasium di Singapura.

Le Mans adalah perlumbaan ketahanan stamina pemandu dan kereta.

Ia amat popular di Eropah dengan perlumbaan pertama musim ini dijadualkan berlangsung di Litar Castellet di selatan Perancis dari 9 hingga 11 April.

Siri di Amerika pula akan bermula bulan depan di Florida.

Sementara itu siri Porsche Carrera Cup biasanya diadakan sebagai perlumbaan sokongan kepada Formula Satu.

Perlumbaan pertama tahun ini dijadualkan di Litar Sepang pada 13 dan 14 Mac.

Singapura dijangka menjadi tuan rumah kepada salah satu siri itu apabila perlumbaan Formula Satu diadakan di sini dalam September ini.

Hafiz mula berlumba dengan gokart sebelum berlumba dalam Formula V6 Asia di Festival Pecut Asia.

Beliau juga terpilih untuk memandu dalam pasukan Team Singapore dalam A1GP.

Bagaimanapun, beliau tidak berkesempatan untuk berlumba kerana pasukan Singapura itu dibubarkan.

Baru-baru ini, Hafiz menyertai perlumbaan go-kart di Kartright Speedway di Jurong sempena pembukaan litar itu.

'Pasukan saya menduduki tempat keempat. Malangnya ia dibatalkan kerana masalah teknikal,' katanya.

'Tetapi ia satu pengalaman yang baik sekali,' sambung beliau.



 
   
   
 

SUKAN

 
 
Cole: Liverpool mampu juarai Liga Perdana
 
 
Tevez ingin berganding dengan Torres
 
 
Ribery dan Benzema mungkin sarung jersi Perancis
 
 
Kontrak Maradona tidak diperbaharui
 
 
Masa depan bola sepak di pundak Asia
 
 
Teknologi garisan sudah tersedia
 
 
Shevchenko temui sasaran
 
 
Larian Obor Olimpik Belia tiba di benua Amerika
 
 
Sekilas Sukan
 
 
Jadual Sukan