Mudah cetak
E-mel
9 Feb 2010
SUKAN
Mourinho mungkin kembali ke England
LONDON: Jurulatih Inter Milan, Jose Mourinho, merancang untuk membeli kontraknya dengan bayaran £5.5 juta ($12.27 juta) dan kembali ke England pada musim panas ini.
Mourinho, yang dikenali sebagai The Special One, tidak pernah cuba menafikan kemungkinan beliau kembali ke Liga Perdana di mana beliau menikmati banyak kejayaan bersama Chelsea sepanjang tiga tahun beliau di kelab tersebut.
Akhir-akhir ini semakin jelas bahawa beliau tidak bertugas dengan sepenuh hati dengan kelab Serie A Italy itu.
Selain itu, hubungannya yang kurang mesra dengan media Italy juga sering mendapat perhatian.
Mourinho didakwa telah berkata kepada media Portugal: 'Kelab itu (Inter) dan saya telah menandatangani satu kontrak yang amat objektif sehingga 2012 kerana kami mahu bekerjasama.
'Di dalam kontrak itu, terdapat fasal yang membolehkan ia dibatalkan dengan Inter akan membayar saya jika mereka mahu saya meninggalkan kelab itu dan satu lagi fasal bahawa saya akan membayar Inter jika saya mahu pergi.
'Ia sangat mudah dan amat objektif. Antara kami, tidak akan ada kisah yang tiada berkesudahan seperti yang berlaku pada masa lalu dengan orang lain.
'Kami manusia yang jujur dengan kontrak yang jujur dan objektif.'
Sekarang, dengan Mourinho dikatakan tidak sekata dengan Presiden Inter, Massimo Moratti, mengenai ketiadaan pelaburan yang dibuat oleh kelab itu dalam tempoh pemindahan pemain yang lalu, satu pemindahan pada akhir musim ke England dikatakan bakal menjadi satu kemungkinan besar.
Liverpool dan Manchester City dilaporkan berminat mendapatkan mantan jurulatih Porto itu memandangkan kelab-kelab tersebut akan mempunyai tempat duduk 'panas' yang mungkin kosong, dan ini bergantung pada keputusan dalam merebut tempat ke pertandingan Liga Juara-Juara.
Rafael Benitez sedang menghadapi tekanan di Anfield sepanjang musim dan ramai menjangkakan beliau dan Liverpool mungkin berpisah jika mereka gagal menduduki empat tangga teratas dalam liga.
Walaupun Roberto Mancini baru sahaja berada di City sejak Disember lalu, sudah terdapat desas-desus bahawa kontrak tiga setengah tahun beliau mempunyai syarat yang akan membolehkan kelab berkenaan memecatnya hanya selepas enam bulan.
Anehnya, Mourinho adalah pilihan pertama Liverpool sebelum mereka mendapatkan Benitez dalam 2004, sementara jurulatih dari Portugal itu menggantikan Mancini di Inter. -- NewsNow Football.