MUKA DEPAN
SINGAPURA
DUNIA
SUKAN
EKSTRA!
KOMENTAR
FORUM
EKONIAGA

  
GOL KEDUA: Didier Drogba (dua dari kanan) melepaskan rembatan kaki kirinya untuk meletakkan Chelsea 2-0 pada minit ke-23. -- Foto AP
Mudah cetak
E-mel

9 Feb 2010

SUKAN

LIGA PERDANA ENGLAND
Arsenal usah berangan-angan lagi

Sukar bangkit lepas tercicir sembilan mata dengan pendahulu liga dan baki 13 perlawanan

Oleh
Yusoff A. Rahman

MAAF Arsene Wenger.

Arsenal barangkali sudah terkeluar daripada persaingan merebut kejuaraan pertandingan Liga Perdana England musim ini.

Dengan kecundang buat kali kedua di tangan Chelsea - kali ini 0-2 - di Stamford Bridge kelmarin, Arsenal sudah tercicir sembilan mata di belakang tuan rumah.

Dengan baki 13 perlawanan lagi adalah sukar membayangkan Arsenal akan bangkit dan kemudian merapatkan jurang kedudukannya seperti selepas kekalahan 0-3 di tangan Chelsea pada 29 November tahun lalu.

Apakah yang membezakan Chelsea dengan Arsenal?

Chelsea mempunyai pemain seperti Didier Drogba yang mempunyai ketinggian dan bentuk badan yang tegap untuk bersaing hantaran tinggi.

Kemudian, pemain seperti Drogba mempunyai rakan penyerang seperti Nicolas Anelka yang setanding dari segi ketinggian, bentuk badan dan kecekapan untuk membantunya. Ini bererti ancaman Chelsea lebih berbahaya.

Apa lagi?

Chelsea juga mempunyai John Terry yang keupayaannya bukan sahaja boleh bergabung tenaga dengan rakan-rakan pertahanannya seperti Ricardo Carvalho, Ashley Cole dan Branislav Ivanovic untuk menyerap tekanan Arsenal, malah sentiasa mengancam apabila pasukannya memperolehi set-pieces.

Ini terbukti apabila Terry menanduk bola ke arah Drogba selepas menerima tendangan sudut dari kiri yang diambil oleh Florent Malouda pada minit kelapan.

Tugas Drogba yang berada di depan pintu gawang Arsenal sekadar menyentuh bola untuk gol pembukaan Chelsea. Gol itu terlalu mudah seperti menyebut ABC.

Arsenal bukan tidak mempunyai kelebihan dalam pertarungan ini.

Untuk berlaku adil kepada Arsenal, pasukan dari Stadium Emirates itu lebih banyak menguasai permainan. Lebih tepat lagi, 58 peratus permainan.

Tetapi dalam bola sepak, kemenangan hanya boleh dicapai jika sesebuah pasukan itu mampu bertahan, menyerang dan kemudian menyumbatkan gol.

Arsenal terancam apabila menerima serangan balas. Sebab itu Chelsea menjaringkan gol keduanya, juga melalui Drogba pada minit ke-23.

Arsenal juga menyerang tetapi di kalangan kesebelasan utamanya, tiada siapa yang boleh bergelar penyerang utamanya.

Untuk berlaku adil, Andrei Arshavin mempunyai peluang menyamakan kedudukan tetapi Peter Cech terbukti lebih cemerlang.

Kapten pasukan, Cesc Fabregas, juga mempunyai peluang tetapi penjaga gawang Chelsea sukar diperdayakan.

Chelsea menang kerana Cech bertindak cemerlang. Terry pula begitu mantap dan Drogba sungguh berbahaya.

Walaupun menang dan kini kembali merampas tangga pertama dengan kelebihan dua mata ke atas seteru utamanya, Manchester United, pengurus pasukan Chelsea, Carlo Ancelotti, tidak fikir persaingan merebut kejuaraan pertandingan musim ini akan terbatas kepada dua pasukan sahaja.

'Adalah sukar bagi Arsenal kembali berada di tangga pertama pertandingan ini. Bagaimanapun, kemungkinan itu tidak boleh ditolak kerana Arsenal adalah sebuah pasukan yang baik. Ia akan bergantung kepada persembahan Chelsea dan United.

'Saya tidak boleh menyebut persaingan kini akan tertumpu kepada dua pasukan. Belum masanya untuk menyebut Chelsea atau United akan menang,' kata beliau.

Tetapi, jika Arsenal terus kecundang di tangan Liverpool di Stadium Emirates esok, pasukan itu lebih baik memikirkan bagaimana hendak melayakkan diri ke Liga Juara-Juara Eropah.

Maksudnya, bagaimana hendak berada dalam kelompok empat pasukan utama.



 
   
   
 

SUKAN

 
 
24 pemandu bersaing rebut mahkota
 
 
Chelsea pula rasa tertekan sekarang
 
 
Besar kepala kerana gaji besar
 
 
Benitez puji pemain meski kalah kepada Lille
 
 
PBMS akan anjur pertandingan bola keranjang
 
 
Obor YOG sudah dalam genggaman
 
 
Sekilas Sukan
 
 
Tiga sebab rakyat wajar beri sokongan
 
 
Jadual