Mudah cetak
E-mel
9 Feb 2010
SUKAN
SERIE A ITALY
Cagliari jadi mangsa terbaru Inter
MILAN: Juara bertahan, Inter Milan, yang sedang memburu kejuaraan pertandingan Serie A Italy buat kali kelima berturut-turut, telah menjadikan Cagliari sebagai mangsa terbarunya kelmarin.
Inter yang dipimpin oleh Jose Mourinho memenangi perlawanan itu 3-0.
Gol pertama Inter diperolehi melalui pemain Macedonia, Goran Pandev, selepas menerima hantaran Samuel Eto'o pada minit keenam.
Kemudian, pemain pertahanan, Walter Samuel, menjadikan kedudukan 2-0 melalui tandukan dan pemain Argentina, Diego Milito, terus melebarkan jurang kedudukan selepas rehat untuk golnya yang ke-14 musim ini.
'Kami boleh beraksi lebih baik lagi tetapi saya gembira kami berjaya memungut tiga mata. Kami hanya memikirkan tentang perjuangan pasukan kami. Keputusan pasukan-pasukan lain tidak penting,' jelas Pandev.
Dengan kemenangan itu, Inter mempunyai kelebihan lapan mata daripada seteru utamanya, AS Roma, menyusuli kemenangan 1-0 ke atas Fiorentina.
Roma memperolehi gol tunggal kemenangannya itu melalui Mirko Vucinic pada minit ke-82.
Penyerang Roma, Francexto Totti, yang menunjukkan keghairahan untuk kembali mewakili negaranya, Italy, dalam Piala Dunia, telah digantikan kerana kembali menghadapi masalah kecergasan.
AC Milan pula gagal memungut mata maksimum buat kali keempat berturut-turut selepas seri 0-0 dengan Boogna.
Mancini, pemain Inter yang dipinjamkan kepada Milan, turut beraksi.
Kehadirannya bermakna David Beckham terpaksa diketepikan.
Ketiadaan pemain penyerang, Alexandre Pato, telah menimbulkan masalah kepada Milan dari segi asakan serangannya.
Beckham digugurkan daripada perlawanan itu selepas beraksi dalam lima perlawanan sejak kembali menyertai Milan untuk kali kedua.
Dalam perlawanan-perlawanan lain, Udinese mengalahkan Napoli 3-1 dan Sampdoria pula menewaskan Siena 2-1. -- Reuters.