Mudah cetak
E-mel
18 Mac 2010
SUKAN
Bintang-bintang bola sepak dunia
akan bersidang di sini
Oleh
Mohd Sani Ali
BUAT julung-julung kali, bintang-bintang bola sepak dunia dan kelab-kelab handalan Eropah akan berada di Pusat Persidangan Raffles City.
Bekas kapten Piala Dunia Brazil, Carlos Alberto Torres; pemain terkenal Eusebio; bintang Argentina, Ossie Ardiles; dan bekas kapten Manchester United dan England, Bryan Robson, akan berada di sini pada 28 dan 29 Julai.
Turut hadir di pusat persidangan ini nanti ialah presiden Gabungan Bola Sepak Asia (AFC), Mohamaed bin Hammam; bekas naib pengerusi Arsenal dan Persatuan Bola Sepak England yang juga presiden antarabangsa England bagi permohonan Piala Dunia 2018, David Dein; dan presiden Persatuan Bola Sepak Thailand, Worawi Makudi.
Menurut Peter Gandolfi, pengarah urusan Kumpulan Soccerex, semua orang kenamaan dalam bola sepak ini akan menyertai Forum Soccerex Asia yang julung-julung kali diadakan di Asia Tenggara.
'Mereka akan berkongsi kemahiran masing-masing dalam isu yang bersangkut paut dengan bola sepak, termasuk tumpuan untuk membangun pasaran bola sepak di Asia dan kaitan dengan kelab-kelab Eropah,' kata Gandolfi.
Selain nama-nama tersohor itu, turut mengesahkan kehadiran mereka dalam seminar dua hari itu ialah para pemain lagenda dan selebriti dari Manchester United, Liverpool, Real Madrid dan Barcelona.
'Syarikat ini akan mengadakan persidangan bola sepak, pameran dan meluaskan jalinan talian pelbagai acara yang berkait rapat dengan sukan ini di serata dunia,' tambah beliau.
'Syarikat kami juga akan berusaha membantu meluaskan jaringan bisnis bola sepak. Para pegawai dari Asia boleh mempelajari pengalaman yang dimiliki pasukan Eropah sementara pegawai dari Eropah pula boleh mendalami budaya dan meluaskan bisnis di Asia,' katanya.
Menurutnya lagi, para pegawai dari kelab-kelab Eropah juga boleh mendalami peranan yang boleh mereka mainkan, dan menolak sebarang salah tanggap bahawa kelab dari Eropah hanya mementingkan keuntungan apabila bermain secara sambil lewa dalam setiap penampilan di Asia.
Beliau berkata tidak kurang daripada 1,500 peserta akan hadir di Singapura, termasuk daripada 400 badan atau syarikat yang memiliki bisnis dalam bola sepak dari Eropah.
Para pegawai dari Qatar juga akan tampil di forum ini untuk memperkuatkan lagi permohonan negara berkenaan untuk menjadi tuan rumah pertama dari Timur Tengah bagi menganjurkan Piala Dunia 2022.
Pasukan England, yang turut memohon menjadi penganjur Piala Dunia 2018, dijangka tampil dengan kumpulan yang besar.
Ini merupakan forum kedua dijalankan di Asia selepas Dubai pada 2005 dan yang kedua dalam tahun ini selepas Forum Soccerex Eropah yang berlangsung di Manchester, England, pada 2 dan 3 Mac lalu.
Presiden Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa), Joseph S. Blatter, berkata: 'Ia sudah menjadi suatu kemestian untuk dihadiri dalam kalender kegiatan bola sepak.'