BERNE: Andriy Shevchenko menjaringkan satu gol untuk membantu Dynamo Kiev mencatat kemenangan 3-0 yang meyakinkan ke atas Ghent dalam perlawanan kelayakan Liga Juara-Juara kelmarin.
Dalam perlawanan kelayakan yang lain, bekas penyerang Newcastle, Portsmouth dan Olympiakos, Lomano LuaLua, menjaringkan penalti pada lewat perlawanan untuk membolehkan Omonia Nicosia seri 1-1 di padang sendiri dengan Salzburg sementara Anderlecht menang 3-1 ke atas The New Saints.
Shevchenko, penjaring gol yang ketiga terbanyak dalam Liga Juara-Juara, kini telah menjaringkan 58 gol termasuk gol terbarunya untuk Kiev, juara liga Ukraine sebanyak 13 kali.
Andriy Yarmolenko meletakkan Dynamo di hadapan pada minit ke-19 apabila beliau mendapat bola dan menggelecek menewaskan penjaga gawang Ghent, Bojan Jorgacevic.
Shevchenko, bekas penyerang AC Milan dan Chelsea, menjadikan kedudukan 2-0 selepas membuat hantaran satu dua dengan Denys Garmash dan menolak bola melewati Jorgacevic.
Beliau kemudian mencipta peluang jaringan untuk Roman Zozulya dalam waktu kecederaan untuk menjadikan keputusan muktamad 3-0.
Juara Austria, Salzburg, mendahului hampir sepanjang perlawanan di Nicosia melalui Gonzalo Zarate.
Pemain Argentina itu meluru dari sebelah kanan sebelum membuat rembatan kencang yang terlepas daripada tangkapan penjaga gawang Omonia, Dragoslav Jevric, seawal minit kelapan.
Tetapi Omonia, yang berharap dapat mencontohi kelab saingan mereka di dalam negeri, Anorthosis Famagusta dan Apoel, dengan menjadi kelab ketiga berturut-turut dari Cyprus layak ke peringkat kumpulan Liga Juara-Juara, menjaringkan gol penyamaan pada minit-minit terakhir permainan apabila Leandro de Almedia dijatuhkan dalam kotak penalti. -- Reuters.