Mudah cetak
E-mel
29 Jul 2010
SUKAN
FORUM ASIA SOCCEREX
Teknologi
garisan sudah tersedia
Oleh
Zainal Jamari
CUBA bayangkan sekiranya gol jaringan pemain England, Frank Lampard, disahkan oleh pengadil telah melewati garisan gol Jerman dalam Piala Dunia yang lalu, apakah ia boleh merubah keputusan perlawanan?
Ini boleh didebatkan hingga Piala Dunia yang akan datang, tetapi sekiranya teknologi garisan gol telah digunakan, perdebatan itu tentu sekali tidak perlu.
Teknologinya sudah ada dan Fifa - badan induk bola sepak dunia - juga mengetahuinya.
Cuma masalahnya, mereka belum mahu menggunakannya, sekurang-kurangnya buat masa terdekat.
Sebuah firma Jerman, Cairos Technologies AG (Cairos), yang mempunyai gerai di pameran Forum Asia Soccerex yang sedang berlangsung di Raffles City Convention Centre, menerangkan kos menggunakan teknologi itu lebih rendah berbanding dengan saranan Fifa untuk melantik pembantu pengadil khusus untuk mengawasi garisan gol.
Pengarah Penjualan Cairos, Leiter Vertrieb, berkata kos keseluruhan sistem itu ialah sekitar 2,500 euro ($3,541).
'Sistem kami sangat berkesan. Kami menggunakan jaluran magnetik untuk mengesan sama ada bola telah melewati garis gol atau tidak.
'Satu jaluran magnetik akan diletakkan pada garisan gol dan pada tiang dan palangnya.
'Satu cip yang kecil pula dimasukkan pada bola dan setiap kali keseluruhan bola telah melewati garisan gol, satu isyarat akan dikirimkan kepada pengadil,' kata Vertrieb.
Menurut beliau lagi, sejauh ini hanya pembuat peralatan sukan Adidas sahaja yang mempunyai kepakaran untuk meletakkan cip tersebut dalam bola mereka.
'Tetapi jika Fifa menerima teknologi ini, saya tidak lihat masalahnya bagi Adidas untuk mengeluarkan lesen kepada para pembuat bola lain seperti Nike misalnya,' kata beliau.
Teknologi yang dicipta oleh syarikatnya itu juga lasak dan tidak menimbulkan sebarang kesan negatif kepada pemain.