Mudah cetak
E-mel
29 Jul 2010
SUKAN
BOLA SEPAK PERANCIS
Ribery dan Benzema
mungkin sarung jersi Perancis
PARIS: Jurulatih baru pasukan Perancis, Laurent Blanc, berkata beliau sedia mengundang pemain sayap, Franck Ribery, dan penyerang, Karim Benzema, sekalipun kedua-duanya sedang disiasat polis mengenai laporan terlibat dalam kes seks dengan pelacur bawah usia.
Gara-gara dakwaan yang menggegarkan arena bola sepak Perancis, Menteri Kesihatan dan Sukan Perancis, Roselyne Bachelot, telah menggesa agar kedua-dua pemain itu tidak ditimbangkan dalam pasukan Perancis sehingga siasatan polis selesai.
Ribery, pemain pasukan Bayern Munich yang menghadapi kemungkinan dikenakan hukuman penjara selama tiga tahun jika bersalah, telah mengaku mengadakan hubungan seks dengan Zahia Dehar.
Namun Ribery, antara pemain Perancis yang beragama Islam, menafikan beliau tahu Zahia berusia bawah 18 tahun ketika itu.
Benzema, pemain penyerang Real Madrid, juga menghadapi dakwaan yang serupa tetapi beliau telah menafikannya.
Di negara-negara seperti Perancis dan Jerman, mengadakan hubungan seks dengan pelacur bawah usia 18 tahun adalah satu kesalahan.
Di Jerman, kesalahan itu membawa hukuman penjara sehingga lima tahun.
Tetapi Blanc memberitahu akhbar, Le Parisien-Aujourd'hui en France, beliau tidak semestinya mengetepikan kedua-dua pemain itu sekalipun beliau telah menggugurkan kesemua anggota pasukan Piala Dunia Afrika Selatan 2010 baru-baru ini.
Benzema tidak terpilih dalam skuad Perancis ke Piala Dunia.
Perancis, yang pernah menjadi juara Piala Dunia pada 1998, akan menentang Norway dalam satu perlawanan pada 11 Ogos ini.
Menjelaskan tentang kedudukan Ribery dan Benzema, bekas jurulatih Bordeaux berkata kedua-duanya adalah dua pemain penting dalam skuad Perancis.
Sebelum ini, presiden sementara Persatuan Bola Sepak Perancis, Fernand Duchaussoy, telah menggesa agar kedua-dua pemain berkenaan diketepikan daripada skuad pasukan negara sehingga siasatan polis selesai. -- Reuters.