MUKA DEPAN
SINGAPURA
DUNIA
SUKAN
EKSTRA!
KOMENTAR
FORUM
EKONIAGA

  
Mudah cetak
E-mel

17 Sep 2007

SANTAI

IDOLA REMAJA
Sentuhan sulung

Balada Aliff mempesona

Oleh
Syafiqah Abdul Hamid, Nadia Lamri,
Nursyamimi Muhazat
dan Nurul Syafiqah Mohd Idris
Pelajar Sekolah Perempuan Tanjong Katong

ROKER berbisik.

Itulah komen selamba yang diberikan penyanyi veteran, Rahimah Rahim, mengenai suara juara Anugerah 2007, Aliff Aziz, ketika beliau mengalunkan lagu popular Dewa, Sedang Ingin Bercinta, di peringkat akhir peraduan adu bakat itu, Julai lalu.

Bagaimanapun, belia berusia 16 tahun itu bakal melihat wajahnya terpampang pada kulit album solonya dan suara gemersiknya pula dihidangkan bagi mendendangkan lagu-lagunya sendiri.

'Sepatutnya album ini dinamakan Bisik-Berbisik!' seloroh Pengarah Urusan Sony BMG, Encik Adrian Lim, dalam satu sesi mendengar keratan lagu-lagu Aliff, Rabu lalu.

Sesi lebih dua jam untuk media itu diadakan di pejabat Sony BMG di Shaw Centre, Scotts Road. Di situlah, kesemua 11 lagu Aliff (termasuk satu lagu bonus Hari Raya) berkumandang sebagai santapan halwa telinga kami.

Kami terpukau dengan lagu-lagu seperti Ku Sendiri, Cinta Arjuna, Sayang-Sayang dan Dia. Vokal Aliff mampu didengar dengan jelas. Keupayaan vokalnya, malahan, diuji untuk lagu-lagu yang asalnya merupakan lagu Cina dan Jepun.

Encik Lim yang tidak putus-putus membuat wartawan tergelak dengan aksinya (lengkap membuat lambaian tangan dengan penyala api menyinari bagi lagu balada), kerap kali berkata:

'Ku Sendiri - inilah lagu kegemaran saya. Kalau sesiapa ingin mendengarnya sekali lagi, beritahu saya, ya...'

Sewaktu dicungkil perasaannya, Aliff yang ditemani seisi keluarganya ke sesi tersebut, menjelaskan: 'Yang paling best tentang memenangi Anugerah ialah kontrak rakaman dengan syarikat Sony BMG, wang tunainya dan peluang mencapai impian memiliki album sendiri dan menunjukkan bakat menyanyi yang sudah lama terpendam.

'Bukan mudah untuk saya mengembangkan sayap saya dalam bidang ini sekelip mata. Sebelum ini, teman-teman menasihati saya agar berjaga-jaga dan bijak menjawab soalan media Malaysia. Ternyata, memang ada soalannya payah dijawab atau agak kontroversial.

'Tetapi, saya tidak rasa terancam. Saya cuba menjawabnya sebaik mungkin. Yang paling payah ialah apabila ada yang bertanya sejauh mana saya yakin dan optimistik saya dapat menembusi pasaran Malaysia sebagai penyanyi baru Singapura.

'Saya memberitahu wartawan itu, saya ingin melihat sendiri sambutan terhadap lagu-lagu saya di Singapura dahulu sebelum meneroka ke pasaran Malaysia. Sebabnya, saya yakin jika seseorang itu berbakat, dia harus berani mengetengahkan bakatnya untuk tatapan ramai.'

Aliff yang berbaju lengan panjang coklat yang dipadankan dengan seluar jeans dan rantai Bling-Bling berbentuk nota muzik, menyukai kesemua lagu di dalam album itu, khususnya Ku Sendiri.

'Tetapi lagu yang paling mencabar ialah Ini Satu Kisah yang dicipta Neves (Pretty Ugly). Iramanya berbeza dan saya perlu menyesuaikan vokal saya dengan rentak sebegini,' jelasnya.

Meskipun bukan peminat lagu-lagu pop Korea ataupun pop Jepun, yang digilai remaja, Aliff tetap bersikap terbuka dalam pemilihan lagu.

'Kalau diberi peluang menembusi pasaran Cina, mengapa tidak? Saya bersedia,' katanya, yang membawakan semula lagu More than Words versi Frankie J kerana ia adalah lagu yang diminatinya.

Beliau akur mulanya, ibu bapanya tidak menyokong keputusannya memasuki bidang nyanyian.

'Tetapi selepas mereka lihat menyanyi adalah kecenderungan saya, mereka pun memberikan sokongan sepenuhnya,' katanya.

Anak emak (terlihat beliau mencium pipi ibunya dan mendakap ibunya mesra) itu, bagaimanapun, enggan mendedahkan nama timang-timangannya.

Untuk peminat Aliff di Singapura, nantikan albumnya, Aliff, di pasaran setempat pada 24 September ini. Aliff juga boleh anda saksikan di Ra-Ra Bazar, Sinar Lebaran, President's Star Charity dan Intai Raya, tidak lama lagi.